Eksport meningkat 6.9% pada Januari 2016

Eksport meningkat 6.9% pada Januari 2016

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Imbangan perdagangan Negara Brunei Darussalam bagi bulan Januari 2016 adalah sebanyak $334.2 juta yang terdiri daripada $718.3 juta bagi eksport dan import ($384.1 juta).

Menurut Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa bagi bulan Januari 2016 yang dikeluarkan Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri, eksport meningkat sebanyak 6.9 peratus disebabkan oleh peningkatan eksport bahan-bahan mentah yang tidak boleh dimakan, jentera dan kelengkapan pengangkutan.

Eksport utama negara iaitu LNG mencatatkan peningkatan sebanyak 17.6 peratus berikutan peningkatan dagangan isi padu LNG daripada 959,304 MMBtu sehari (Disember 2015) kepada 1,199,537 MMBtu sehari (Januari 2016).

Kenyataan media juga menyatakan, pasaran eksport terbesar adalah Jepun dengan 48.0 peratus dari jumlah eksport, diikuti oleh Republik Korea (17.7 peratus), India (7.8 peratus) dan Thailand (6.8 peratus).

Sementara itu, import barangan juga meningkat sebanyak 18.4 peratus daripada $324.3 juta (Disember 2015) kepada $384.1 juta pada bulan Januari 2016. Ini disebabkan oleh peningkatan dalam import Bahan Api Galian (274.7 peratus), Barang-barang Keluaran Kilang (59.2 peratus) dan Makanan (13.7 peratus).

Import terbesar adalah dari Singapura sebanyak 27.4 peratus dari jumlah import, diikuti oleh Malaysia (18.9 peratus), China (14.1 peratus) dan Amerika Syarikat (9.7 peratus).

Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (International Merchandise Trade Statistics, IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan ‘General System’ bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.

Menurut kenyataan itu, laporan penuh IMTS bagi Januari 2016 boleh didapati melalui laman web JPKE di www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA