Eksport minyak perlu dikaji semula

Eksport minyak perlu dikaji semula

SANDAKAN, 27 Ogos (Bernama) – Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mahu kajian semula dilakukan terhadap garis panduan pengeksportan minyak petrol dari daerah ini ke Selatan Filipina.

Menterinya Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata langkah itu perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku khususnya kebakaran membabitkan petrol yang boleh mendatangkan kesan tidak baik terhadap alam sekitar dan manusia.

Katanya kejadian kebakaran membabitkan sebuah tongkang atau kapal pengangkut minyak dari Filipina membawa muatan 550 tong dram mengandungi 11,000 liter minyak petrol di sebuah jeti milik persendirian di Kilometer 10 Jalan Batu Sapi pada Sabtu lepas harus dijadikan iktibar.

Menurutnya garis panduan yang ada perlu dikaji semula bagi membuat satu garis panduan yang baharu dengan mengutamakan langkah pencegahan.

Beliau berkata perbincangan bersama dilakukan dengan pihak yang terlibat khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Kastam bagi mewujudkan satu garis panduan yang mengambil semua aspek dalam aktiviti pengeksportan petrol ke selatan negara jiran.

Datuk Dr Wan Junaidi ketika melawat kapal tongkong minyak yang terbakar baru-baru ini. – Bernama
Datuk Dr Wan Junaidi ketika melawat kapal tongkong minyak yang terbakar baru-baru ini. – Bernama

“Tumpuan diberikan dari segi penggunaan kapal pengangkut minyak dari Filipina dan aspek keselamatan di jeti,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama pihak pembekal, pengeksport dan pengangkut minyak dan pengusaha jeti di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata dalam aspek penggunaan kapal pengangkut, kementeriannya menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesyorkan pengusaha kapal pengangkut minyak dan kelengkapan tangki menyimpan minyak mengkaji semula kesesuaian bahan binaan dengan menggunakan bahan tidak mudah bocor dan terbakar.

Katanya kapal itu hendaklah dilengkapi dengan peralatan kawalan minyak bagi menghadapi dan mengawal sebarang kejadian tumpahan minyak semasa minyak diangkut.

Pihak KPDNKK dan agensi berkaitan diminta untuk mengkaji semula kesesuaian kapal yang boleh digunakan untuk aktiviti pengangkutan minyak di kawasan yang berskala besar dan eksport ke luar negara, katanya.

Menurutnya pada masa sekarang, kapal pengangkut minyak petrol dari daerah ini menggunakan kapal dari Filipina yang diperbuat daripada kayu.

Katanya pengusaha jeti juga diarahkan menyediakan Rancangan Kontigensi Kawalan Tumpahan Minyak Peringkat pertama, menyedia kelengkapan dan latihan kotigensi kawalan tumpahan minyak.

Dalam pada itu, Wan Junaidi yang turut melawat kawasan kebakaran di jeti itu berpuas hati dengan kerja pembersihan tumpahan minyak petrol akibat kebakaran kapal pengangkut itu.

Beliau berkata JAS akan memantau pelupusan sisa minyak petrol akibat kebakaran itu mengikut garis panduan ditetapkan di bawah Persatuan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.