Eksport minyak sawit ke AS berpotensi berganda dalam tempoh 5 tahun

Eksport minyak sawit ke AS berpotensi berganda dalam tempoh 5 tahun

LOS ANGELES, 16 Okt (Bernama) – Eksport minyak sawit Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) berpotensi berganda dalam tempoh lima tahun lagi kerana negara itu terus mengimport minyak dan lemak sayuran bagi menampung permintaan tempatan meskipun menjadi pengeluar utama minyak sayuran.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah berkata eksport minyak sawit Malaysia ke AS meningkat 162 peratus daripada 477,899 tan metrik pada 2009 kepada 1.25 juta tan metrik tahun lepas. Beliau berkata AS mengimport 4.3 juta tan metrik minyak dan lemak tahun lepas dengan minyak sawit menyumbang 28 peratus daripada jumlah itu.

“Ini jelas menunjukkan keyakinan pengguna di Amerika berkaitan dengan manfaat pemakanan minyak sawit,” katanya kepada Bernama di luar Forum Minyak dan Lemak Global (GOFF) USA 2015, di sini, pada Khamis.

Uggah berkata Malaysia kini sedang bekerjasama rapat dengan institusi penyelidikan tempatan dan antarabangsa untuk menjalankan kajian saintifik tentang manfaat minyak sawit.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ketika ini sedang bekerjasama dengan Ohio State University Medical Centre, Anderson Cancer Centre, University of Texas dan Wayne State University.

Kajian-kajian ini menumpukan kepada penggunaan tokotrienol, vitamin E yang ditemui dalam minyak sawit, dalam pencegahan kanser dan strok serta mengubati penyakit hati dan buah pinggang, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA