Eksport M’sia...

Eksport M’sia Nov 2016 meningkat

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Jumlah eksport Malaysia bagi Nov lepas meningkat sebanyak 7.8 peratus kepada RM72.83 bilion berbanding RM67.56 bilion untuk tempoh sama tahun lepas, sekaligus menjadikannya bulan eksport tertinggi untuk 11 bulan pertama 2016.

“Pencapaian itu dipacu permintaan memberangsangkan oleh pasaran utama, khususnya ASEAN, China, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Hong Kong dan India,” kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam laporan awal statistik perdagangan luar Malaysia yang diumumkan hari ini.

Selain itu, import pada Nov 2016 berkembang sebanyak 11.2 peratus kepada RM63.80 bilion yang menjadikan jumlah dagangan meningkat 9.3 peratus kepada RM136.63 bilion.

“Lebihan dagangan pada Nov 2016 adalah sebanyak RM9.03 bilion, menjadikannya bulan ke-229 berturut-turut menyaksikan lebihan berkenaan sejak Nov 1997,” katanya.

Menurut laporan itu, bagi tempoh Januari-November 2016 period, eksport meningkat 0.2 peratus kepada RM710.38 bilion manakala import naik satu peratus kepada RM631.83 bilion dan lebihan dagangan mencatat RM78.55 bilion.

“Jumlah dagangan bagi 11 bulan pertama 2016 naik sebanyak 0.5 peratus kepada RM1.34 trilion berbanding RM1.33 trilion bagi tempoh sama tahun lepas,” kata laporan itu.

Bagi Nov 2016, eksport barangan perusahaan meningkat 7.9 peratus bagi tahun ke tahun kepada RM58.32 bilion yang menyumbang 80.1 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.

“Barangan elektrikal dan elektronik (E&E) menokok 13.2 peratus atau RM3.06 bilion iaitu pertumbuhan paling pesat yang dicatatkan setakat 2016,” katanya.

Bagi bulan sama, eksport barangan pertanian naik 22.4 peratus kepada RM6.9 bilion yand diterajui eksport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sait.

“Eksport minyak sawit berkembang sebanyak 25.6 peratus kepada RM4.07 bilion daripada RM3.24 bilion dicatatkan pada November 2015.

“Peningkatan eksport juga dicatat barangan seperti bahan kimia dan produk berkaitan, peralatan pengangkutan, makanan diproses, produk besi dan keluli serta peralatan optik dan saintifik,” katanya.

Bagaimanapun, menurut laporan itu, eksport barangan perlombongan susut sebanyak 6.9 peratus kepada RM7.01 bilion disebabkan pengurangan eksport gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah.

“Eksport LNG dan petroleum mentah masing-masing merosot 21.3 peratus dan 6.1 peratus berikutan nilai unit purata yang rendah,” katanya. – Bernama