Eksport peralatan perubatan dijangka meningkat 15%

Eksport peralatan perubatan dijangka meningkat 15%

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Jumlah eksport peralatan perubatan Malaysia dijangka meningkat sebanyak 15 peratus kepada RM17.8 bilion tahun ini, naik daripada RM15.5 bilion pada 2015 disokong permintaan tinggi daripada pasaran antarabangsa terutamanya Amerika Syarikat (AS).

AS menyumbang 49 peratus daripada pasaran peralatan perubatan dunia yang bernilai AS$324 bilion tahun lepas, demikian menurut laporan Tinjauan Industri Peralatan Perubatan 2016 yang dikeluarkan oleh Persatuan Industri Perubatan Malaysia.  “Pada Januari hingga Mei tahun ini, eksport peralatan perubatan bernilai RM6.3 bilion.

“Kami yakin dapat mencapai sasaran tahun ini,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk N. Rajendran, kepada pemberita selepas majlis pelancaran laporan itu di sini, hari ini.

Rajendran melancarkan laporan itu sebagai mewakili Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud.

Dalam ucapannya Azman berkata Jerman, Belgium dan Jepun juga merupakan destinasi eksport utama bagi peralatan perubatan selain AS.

Antara produk utama ialah sarung tangan pembedahan dan pemeriksaan, tiub pakai buang, katerer, alat pengimbas ultrabunyi, peralatan ortopedik/peralatan instrumen, kontraseptif bersarung dan kanta lekap, katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Rajendran.

Dalam tempoh tiga bulan tahun ini, pelaburan diluluskan meningkat sebanyak 79 peratus kepada RM841 juta berbanding RM468 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, kata Azman.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 76 peratus adalah daripada sumber asing dan baki 24 peratus daripada sumber domestik.

“Ketika ini, terdapat projek peralatan perubatan bernilai RM1.4 bilion yang sedang dalam perancangan, jadi keseluruhannya, ia masih tinggi berbanding pelaburan diluluskan bernilai RM1.8 bilion tahun lepas,” katanya.

Setakat ini, terdapat lebih 190 syarikat peralatan perubatan di negara ini, dikuasai terutamanya oleh perusahaan kecil dan sederhana dan 30 perbadanan multinasional, termasuk dari AS, Jerman, Switzerland dan Jepun, katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA