Eksport produk kayu, balak Sarawak turun 7 peratus

Eksport produk kayu, balak Sarawak turun 7 peratus

KUCHING, 19 Mei – Eksport produk kayu dan kayu balak Sarawak bagi suku pertama tahun ini turun tujuh peratus kepada RM1.65 bilion berbanding suku yang sama tahun lepas.

Menurut Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka), nilai eksport turun dalam pelbagai produk, iaitu kayu balak (empat peratus), kayu bergergaji (dua peratus), papan lapis (14 peratus), papan/lantai berlapis (30 peratus), papan partikel (28 peratus), dan kayu serpai (53 peratus).

Bagaimanapun, terdapat peningkatan kecil dalam nilai eksport venir (0.1 peratus), kayu bentukan (satu peratus), dan papan gentian (lima peratus).

Papan lapis kekal penyumbang utama negeri sebanyak 55 peratus atau RM915 juta daripada jumlah nilai eksport.

“Ini diikuti kayu balak sebanyak 26 peratus atau RM424 juta dan kayu bergergaji sebanyak lapan peratus atau RM138 juta,” kata perbadanan itu.

Bagaimanapun, dalam prospeknya, Pusaka yakin harga kayu balak dan produk kayu dijangka kekal stabil dan kukuh berikutan bekalan terhad bahan mentah.

“Kuantiti eksport kayu balak dijangka kekal sederhana berikutan pengeluaran rendah dan harga eksport tinggi.

“Bagi suku pertama 2015, jumlah pengeluaran kayu balak Sarawak turun enam peratus kepada 1.84 juta meter padu berbanding tempoh yang sama tahun lepas. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA