Eksport S’wak cecah RM90.26 bilion 2015

Eksport S’wak cecah RM90.26 bilion 2015

KUCHING, 3 April (Bernama) – Sarawak mencatat nilai eksport RM90.26 bilion tahun lepas dengan gas asli cecair (LNG) menjadi produk utama dieksport bernilai RM47.07 bilion.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata, ia diikuti dengan minyak mentah (RM14.29 bilion), minyak sawit mentah (RM8.11 bilion), produk kayu (RM6.62 bilion) dan produk petroleum, Petroleum RM0.65 bilion.

Beliau berkata dari segi import pula, tahun lepas Sarawak mencatatkan nilai import RM35.5 bilion dengan jentera penjanaan tenaga dan jentera kelengkapan khusus bernilai RM5.2 bilion.

Menurutnya, ia diikuti produk kenderaan darat serta lain-lain peralatan pengangkutan (RM4.26 bilion); petroleum, produk petroleum dan bahan berkaitan (RM2.76 bilion); logam bukan ferus dan logam perkilangan (RM1.82 bilion serta besi dan keluli (1.36 bilion).

“Jepun menjadi destinasi eksport utama Sarawak bernilai RM33.83 bilion, diikuti Semenanjung Malaysia (RM13.41 bilion), Korea (9.66 bilion), China (RM7.44 bilion), Taiwan (RM6.26 bilion) dan India RM4.7 bilion,” katanya dalam satu sidang media di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sidang media itu diadakan selepas beliau menghadiri sesi dialog dan makan tengah hari bersama kira-kira 50 usahawan Bumiputera Sarawak dengan pelbagai agensi di bawah kementeriannya.

Ahmad Maslan berkata, import utama Sarawak pula dari Semenanjung Malaysia RM18.7 bilion, diikuti China (RM4.53 bilion), Jepun (RM1.95 bilion), Australia (RM1.4 bilion), Singapura (RM1.23 billion) dan Amerika Syarikat (RM1.06 bilion).

ARTIKEL YANG SAMA