Ekstrak pokok Bintangor boleh rawat HIV

Ekstrak pokok Bintangor boleh rawat HIV

KUCHING, 25 Nov – Hasil amat positif dicapai dalam ujian klinikal menggunakan ‘Calanolide A’ yang diekstrak daripada pokok Bintangor (Calophyllum lanigerum var austrocoriaceum)’ bagi merawat HIV. Menteri Muda Penyelidikan Sains dan Bioteknologi negeri, Dr Annuar Rapaee berkata ujian itu dijalankan di Hospital Umum Sarawak di sini dan di Pulau Pinang.

“Dengan keputusan itu, Crop Research and Unit Application (Craun) negeri telah menyediakan kertas kerja untuk dikemukakan kepada Kabinet dan untuk memohon dana bagi melantik perunding untuk menjalankan kajian pemasaran dan daripada segi pelesenan,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Hazland Abang Hipni (BN-Demak Laut) di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Craun, yang mengendalikan projek Calanolide A bagi pihak kerajaan negeri juga telah memfailkan permohonan bagi paten produk itu, katanya.

Beliau berkata ia juga akan melindungi pemasaran bagi ekstrak Calanolide A sehingga 2030. – Bernama