‘El Guero’ kembali ke negara asal

‘El Guero’ kembali ke negara asal

BANDAR MEXICO, 16 Jun (AP) – Ketua kumpulan dadah Hecktor “El Guero” Palma, salah seorang pengasas Sinaloa Cartel, telah kembali ke negara asalnya, Mexico, selepas menjalani hukuman penjara di AS selama hampir sedekad, dan serta-merta dibawa ke lokasi yang dikawal ketat yang mana dia akan menanti perbicaraan bagi dua pembunuhan.

Pihak berkuasa AS menyerahkan Palma di Mata-moros, seberang sempadan dari Brownsville, Texas, menurut kenyataan dari Pejabat Peguam Negara Mexico. Palma telah dibebaskan dari penjara persekutuan di California pada hari Jumaat lalu dan diletakkan di bawah tahanan para pegawai imigresen AS.

Ketua kumpulan dadah itu telah diterbangkan ke Bandar Mexico lewat semalam dan kemudian dibawa ke penjara Altiplano berhampiran ibu negara, penjara sama ketua Sinaloa Cartel Joaquin ‘El Chapo’ Guzman melarikan diri pada tahun 2015.

Palma ditahan di bawah arahan penahanan dari negeri barat Nayarit. Tidak ada butiran tambahan diberikan tentang dua pembunuhan itu.

Sebelumnya, para pegawai Mexico berkata mereka tidak tahu sama ada pihak berkuasa di Mexico merancang mengemukakan dakwaan baru ke atas Palma. Jika tidak, Palma akan dibebaskan.

Peguam Negara Arely Gomez berkata pejabatnya sedang mengkaji semula sama ada terdapat kes-kes yang belum selesai terhadap Palma.

“Kami sedang dalam proses membuat kajian semula yang menyeluruh, dengan memeriksa semua pejabat pihak pendakwa.”

Palma diberkas pada Jun 1995 di barat Mexico dan kemudian dihantar ke AS, tempat dia mengaku bersalah atas tuduhan menyeludup dadah dan dijatuhi hukuman penjara 16 tahun. Kedutaan AS berkata Palma dibebaskan awal kerana ber-kelakuan baik.

Beberapa orang pakar percaya Palma mungkin kembali kepada penyeludupan dadah jika dibebaskan, tetapi akan berdepan dunia yang telah berubah sejak dia membantu Guzman mengasaskan kartel Sinaloa pada awal 1990an.