El Nino jejas hasil tani

El Nino jejas hasil tani

Oleh Azlan Othman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mac – Fenomena cuaca El Nino telah membawa bahang panas ke seluruh Brunei Darussalam, menjejaskan tanaman, buah-buahan dan sayuran para petani, mengurangkan hasil keluaran mereka.

Salah seorang petani tempatan di Ladang Komunal, Lumapas, Awang Jamal yang bertanam timun dan terung berkata bahawa ia telah menjejaskan petani-petani yang menggunakan cara perkebunan konvensional berbanding mereka yang menggunakan perkebunan berteknologi.

“Ia memerlukan pengawasan berterusan bekalan air dan penyakit yang berleluasa semasa musim kering ini,” ujarnya, sambil menambah, dalam erti kata lain, sistem tumbuhan akan mengalami tekanan.

“Saya diberitahu oleh seorang pegawai dari Unit Teknologi Sayuran untuk menganggap hasil tanaman sebagai benda hidup.

“Bagaimanapun, cuaca pada masa ini tidak akan mempunyai banyak kesan kepada mereka yang menggunakan sistem berteknologi kecuali bagi keperluan untuk menggunakan pembajaan terkawal,” ujarnya.

Kebakaran hutan yang berlaku di Lebuhraya Seria Bypass akibat cuaca kering dalam gambar fail 29 Februari 2016. Fenomena El Nino yang melanda Negara Brunei Darussalam telah menjejaskan tanaman, sekali gus mengurangkan hasil keluaran para petani. – Gambar oleh Anwar Rosly
Kebakaran hutan yang berlaku di Lebuhraya Seria Bypass akibat cuaca kering dalam gambar fail 29 Februari 2016. Fenomena El Nino yang melanda Negara Brunei Darussalam telah menjejaskan tanaman, sekali gus mengurangkan hasil keluaran para petani. – Gambar oleh Anwar Rosly

Beliau menambah bahawa gelombang haba menyebabkan lebih banyak kebakaran di kawasan pertanian, hutan dan tanah gambut serta menjejaskan bekalan sayuran tradisi digelar Lemiding yang tumbuh liar.

Di samping kerosakan yang diakibatkan, ini juga menyumbang kepada ‘jerebu’, ujarnya. Menurut Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam, jumlah turunan hujan dalam bulan ini adalah di bawah normal, yang mana, pengurangan turunan hujan melebihi 40 peratus daripada purata turunan hujan jangka panjang.

Jabatan berkenaan berkata, berdasarkan ramalan iklim bermusim terkini yang dikeluarkan oleh pusat-pusat iklim dunia terkemuka, Fenomena El Nino yang kuat diramalkan berterusan di Lautan Pasifik sebelum beransur-ansur berkurangan menjelang Jun 2016.

Akibat fenomena global ini, Brunei Darussalam mengalami aktiviti turunan hujan yang sangat berkurangan terutamanya bulan ini. Klimatologi Mac dikenali sebagai bulan yang mempunyai jumlah turunan hujan paling rendah bagi Brunei Darussalam di samping Februari berbanding bulan-bulan lain.

Meskipun turunan hujan kurang, aktiviti-aktiviti seumpamanya masih berpotensi berlaku di seluruh negara, terutamanya di kawasan pantai pada awal pagi.

El Nino merujuk kepada pemanasan pada suhu permukaan laut di seluruh tengah dan timur tengah Pasifik Khatulistiwa, dikaitkan dengan kelompok lautan panas dan perubahan corak cuaca di kawasan yang terjejas.

ARTIKEL YANG SAMA