El Nino, kelembapan ekonomi China jejaskan komoditi pertanian Asia

El Nino, kelembapan ekonomi China jejaskan komoditi pertanian Asia

SINGAPURA, 27 Nov (Bernama) – Ketidaktentuan cuaca akibat El Nino dan kelembapan ekonomi China boleh memberi impak terbesar terhadap komoditi pertanian Asia pada tahun depan, demikian menurut Unjuran Pasaran Komoditi Pertanian 2016 yang dikeluarkan oleh Rabobank hari ini.

Laporan bertajuk ‘Bear with Grains, While Softs Lift Off’ itu menjangka cuaca kering berterusan hingga 2016 iaitu kesan El Nino paling buruk dalam sejarah, mungkin mengekang pengeluaran minyak kelapa sawit, gula, kopi dan koko serta menyebabkan kenaikan harga.

Untuk sektor minyak sawit, kadar pengeluaran dijangka kekal, menyebabkan penyusutan stok sebanyak 8.5 peratus bagi 2015/16 dan meningkatkan harga sebanyak 10 peratus kepada purata RM2,420 setan.

Ketua Global Rabobank, Stefan Vogel berkata pada 2016, secara keseluruhannya bijian dijangka didagangkan pada kadar semasa selain kenaikan harga dalam komoditi seperti gula dan kopi.

Pengeluaran gula India dijangka menguncup tiga peratus tahun ke tahun kepada 28.5 juta tan dan jika keadaan El Nino berterusan sehingga 2016/17, pengeluaran Thailand akan merosot buat pertama kali dalam tempoh lima tahun.

Bagi kopi, Rabobank menjangka kemerosotan dalam kopi Robusta dengan pengeluaran Indonesia berkurang daripada 12.5 juta beg pada 2015/16 kepada 10 juta bagi 2016/17, bagaimanapun Vietnam akan menyaksikan peningkatan besar melebihi paras 28 juta beg pada 2015/16, berbanding 26.5 juta pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, harga minyak sawit yang pengeluarannya terjejas akibat cuaca dijangka tidak naik terlalu tinggi disebabkan persaingan minyak soya, kata Rabobank.

Operasi Rabobank Group yang berpangkalan di Belanda merangkumi perbankan, pengurusan aset, serta perkhidmatan pemajakan, insurans dan hartanah manakala fokus antarabangsa ialah menyediakan penyelesaian kewangan kepada syarikat makanan dan perniagaan tani serta peniaga komoditi.

ARTIKEL YANG SAMA