El-Nino: Peringatan elak kebakaran hutan

El-Nino: Peringatan elak kebakaran hutan

SANDAKAN, 4 Jun (Bernama) – Jabatan Perhutanan Sabah hari ini mengeluarkan peringatan kepada penduduk yang tinggal berdekatan Hutan Simpan Kekal dan Hutan Paya Gambut supaya mengambil langkah penting untuk mengelakkan kebakaran hutan yang boleh memusnahkan khazanah sumber hutan di negeri ini.

Ia berikutan terdapat tanda-tanda fenomena El-Nino berlaku lagi yang akan mengakibatkan cuaca panas dan kemarau berpanjangan.

Pengarah jabatan itu, Datuk Sam Mannan berkata keadaan panas yang berterusan sejak Februari lepas boleh mengancam keselamatan hutan negeri seperti mana kebakaran hutan teruk yang pernah dialami pada 1997 hingga 1998 telah memusnahkan 130 juta hektar Hutan Simpan Kekal di negeri ini.

Sehubungan itu, katanya langkah berjaga-jaga dan pencegahan perlu dipertingkatkan khususnya jangan melakukan pembakaran terbuka kerana ia boleh mengundang kebakaran hutan.

“Pemburuan haram, pertanian pindah-randah dan pembangunan tanah berdekatan dengan Hutan Simpan Kekal juga merupakan antara faktor utama yang telah dan boleh mengakibatkan kebakaran hutan.

“Kepada mereka yang tinggal berdekatan dengan kawasan Hutan Paya Gambut antaranya di Hutan Simpan Binsuluk, Klias Beaufort dan Kuala Abai Kota Belud, langkah-langkah pencegahan rapi adalah amat penting,” katanya di sini, hari ini.

Sam berkata berdasarkan kejadian lepas, kebakaran hutan di kawasan paya gambut sukar dipadamkan.

Beliau berkata pihaknya juga menyarankan kepada pemegang Lesen Perjanjian Pengurusan Hutan Mampan menyediakan pelan tindakan mencegah kebakaran dalam kawasan hutan masing-masing.

Katanya ia menekankan perkara berikut iaitu membuat rondaan secara intensif di kawasan berisiko tinggi menyebabkan kebakaran, memastikan semua kelengkapan pemadam api beroperasi dengan sempurna dan mengawal kawasan Hutan Simpan daripada dimasuki pemburu haram.

Menurutnya sesiapa yang melakukan pembakaran terbuka sehingga menyebabkan kebakaran di kawasan Hutan Simpan, tindakan undang-undang boleh dikenakan di bawah Seksyen 19 Enakmen Hutan 1968 dan jika didapati bersalah, boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Sam berkata jabatan itu meminta kerjasama orang ramai supaya melaporkan kepada mana-mana pejabat perhutanan yang berdekatan sekiranya berlaku kebakaran hutan.