El Nino tidak jejas pelancongan

El Nino tidak jejas pelancongan

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) – Sektor pelancongan Malaysia tidak terjejas akibat fenomena El Nino yang melanda ketika ini, kata Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Katanya pelancong hanya ingin memanfaatkan cuti mereka di destinasi pilihan dan cuaca tidak menjadi penghalang bagi mereka meneruskan aktiviti harian.

“Namun begitu, pelancong perlu peka dengan keadaan semasa dan menjaga kesihatan serta minum air yang banyak bagi memastikan tubuh tidak mengalami dehidrasi,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden PPM, Dr Nor Edzan Che Nasir.

Beliau juga menasihatkan pelancong, sama ada dari luar negara atau domestik untuk merancang perjalanan mereka dengan mengambil langkah pencegahan awal berikutan risiko akibat fenomena El Nino dan strok haba.

Pada majlis hari ini, beliau turut melancarkan Pasukan Sukarelawan Pustakawan yang antara lain bertujuan menjaga kebajikan pustakawan di seluruh negara.

Mas Ermieyati berkata beliau bangga melihat komitmen yang ditunjukkan anggota PPM melalui pewujudan pasukan itu.

“Pelancaran ini dapat membantu gerak kerja secara sosial dan mendekatkan semua pustakawan dengan penduduk setempat di samping mendidik masyarakat untuk mencintai ilmu,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA