Elak ambil elektrik haram

Elak ambil elektrik haram

KOTA KINABALU, 23 Julai – Penduduk Sabah khususnya di bandar raya ini diingatkan agar tidak melakukan penyambungan bekalan elektrik dan air secara haram kerana ia boleh mengundang bahaya dan menjejaskan keselamatan.

Semasa memberi peringatan tentang perkara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata penyambungan pendawaian secara haram terutama elektrik boleh mengundang risiko kebakaran.

Untuk itu, beliau mahu masyarakat memberikan kerjasama dengan melaporkan kepada pihak berkuasa termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) jika mempunyai sebarang maklumat orang awam yang melakukan aktiviti haram itu.

Kelihatan wayar elektrik disambungkan secara haram atas kepentingan diri sendiri.
Kelihatan wayar elektrik disambungkan secara haram atas kepentingan diri sendiri.

“Masyarakat harus mempunyai kesedaran untuk menjaga keselamatan mereka. Saya berharap semua pihak bekerjasama melaporkan jika aktiviti itu berlaku di sekeliling kita agar perkara tidak diingini dapat dielakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Berbasikal anjuran DBKK bersempena ulang tahun ke-16 bandaraya Kota Kinabalu di sini hari Sabtu.

Jainab turut menasihati ibu bapa agar sering memantau aktiviti anak-anak mereka bagi memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin. – Bernama