Elak berurusan dengan pihak ketiga

Elak berurusan dengan pihak ketiga

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Orang ramai diingatkan untuk tidak berurusan dengan pihak ketiga yang tidak berkenaan dengan agensi-agensi yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) bagi sebarang urusan yang berkaitan dengan hal ehwal kenderaan.

Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat JPD kelmarin, Pengarahnya, Dr. Haji Supry bin Haji Ladi berkata, bermula pada pertengahan bulan Oktober tahun ini, JPD mengambil langkah pengawalan dalam usaha memberi perkhidmatan yang lebih berkesan.

Katanya, orang ramai yang memperbaharui lesen kenderaan hendaklah memastikan segala maklumat insurans telah dimasukkan ke dalam Sistem Pengangkutan Darat (SPD) yang dihubungkan ke syarikat insurans.

“Mana-mana maklumat insurans yang tidak masuk ke dalam SPD, kerja proses pembaharuan tidak akan dapat dilaksanakan dan ini menyebabkan pemilik kenderaan terpaksa berulang alik ke syarikat insurans untuk mengesahkan segala maklumat telah dimasukkan ke sistem berkenaan,” jelasnya.

Dr. Haji Supry seterusnya menambah, langkah ini diambil adalah untuk memastikan proses pengemaskinian maklumat dapat dilaksanakan dalam masa yang pendek.