Elak cukai, Neymar diperintah bayar denda

Elak cukai, Neymar diperintah bayar denda

SAO PAULO, 29 Jan – Bintang Barcelona, Neymar gagal dalam rayuannya terhadap denda AS$112,000 kerana mengelak cukai ketika bersama Santos pada 2007 dan 2008.

Keputusan rayuan itu dibuat selepas penguasa kewangan Brazil menyerahkan pengisytiharan cukai asal pemain itu pada 2012, menurut jabatan cukai.

Kes berkenaan turut membabitkan bapa pemain itu biarpun denda yang dikenakan tidak membimbangkan bintang Brazil yang dilaporkan memperoleh pendapatan sekitar AS$215,000 seminggu bersama juara Eropah, Barcelona.

Neymar juga berdepan tindakan undang-undang di Sepanyol apabila dia diarah memberi bukti pada 2 Februari kerana didakwa melakukan penipuan tentang perpindahannya ke Barcelona dari Santos pada 2013.

Presiden Barca, Josep Maria Bartomeu serta bekas presiden sebelum ini, Sandro Rosell, ibu bapa Neymar dan dua pengarah Santos turut dipanggil memberi keterangan.

Pendakwa raya Sepanyol memfailkan tindakan perlu diambil terhadap semua pihak selepas satu laporan penipuan dan rasuah dibuat dana pelaburan Brazil DIS yang memperoleh 40 peratus hak sukan Neymar apabila bermain di Santos, difailkan di mahkamah pada Jun 2015.

DIS mendakwa penipuan itu dilakukan ketika perpindahan pemain berumur 23 tahun itu kerana sebahagian daripada yuran perpindahan itu disembunyikan oleh Barcelona dan Santos. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA