Elak jadi mangsa Along

Elak jadi mangsa Along

SAYA berhasrat untuk mengongsi sama cerita yang pernah dialami oleh salah seorang bekas rakan sepejabat saya. Katanya dengan cerita ini, beliau mengharap orang lain yang berasa tertekan dan terdesak oleh masalah kewangan tidak akan terjebak ke dalam apa yang sedang dialaminya masa ini dan berfikir bijak dan bertindak wajar dalam menggunakan sumber kewangan setiap bulan kepada yang lebih berhemah.

Beliau seorang petugas dalam Bahagian V dengan gaji pokok tidak sampai pun seribu ringgit sebulan dan punya isteri dan lima orang anak yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi serta sekolah menengah.

Isterinya juga seorang petugas perkhidmatan awam di Bahagian V dan mereka berdua berusaha sedaya upaya untuk menyokong kehidupan mereka sekeluarga setiap bulan daripada segi membeli barang dapur, bayar bil utiliti serta pinjaman bank.

Oleh kerana keduanya sedang merancang perbelanjaan untuk anak sulung mereka yang bakal melangsungkan pernikahan dan persandingan beberapa tahun yang lalu, mereka berusaha untuk mendapatkan pinjaman tambahan daripada bank namun gagal berbuat demikian disebabkan peraturan bank belum membenarkan mereka untuk berbuat demikian.

Si suami alihkan perhatian kepada orang perseorangan yang dikenalinya sebagai pemiutang yang dipercayai dan berusaha untuk meminjam $20,000. Pemiutang tersebut, memikirkan yang rundingan ini akan membawa hasil yang lumayan kepada dirinya, menetapkan syarat pinjaman dengan peratus bunga sebanyak 20 peratus dan bunga tersebut berjalan terus.

Ini bermakna si suami akan membayar setiap bulan sebanyak $2,400 tanpa henti dan harus membayar sejumlah $24,000 sebagai bayaran terakhir untuk melunaskan hutangnya.

Enam tahun kemudian, si suami masih tenggelam dalam hutang dan terkial-kial untuk mengumpul bayaran bulanan sebanyak $2,400 setiap bulan dengan meminta bantuan daripada isteri dan dua anaknya yang baru saja dua tahun bekerja di bidang swasta. Tertanya-tanya saya dalam hati, siapakah hamba Allah yang sanggup menyediakan $24,000 bagi membantu beliau melepaskan diri dari belenggu hutang kepada individu pemiutang ini yang kita kenali sebagai ALONG ini.

Ini mungkin satu cerita yang terpencil. Namun yang pasti ada lagi ALONG lain di negara kita yang makan harta bunga (riba) secara haram pada masa ini. Kalau diikut kiraan, penghutang sudah pun menjelaskan hutangnya sekian lama namun dengan terpaksa patuh pada syarat yang ditetapkan Along, maka bayaran setiap bulan harus dijelaskan untuk mengelak daripada tindak balas yang tidak diingini menimpa mereka.

Yang pasti, setelah enam tahun meminjam $20,000, si suami tersebut telah pun membayar sejumlah hampir $180,000 dan Along tersebut tidak akan pernah henti-hentinya menagih bayaran penuh sebanyak $24,000 untuk menyelesaikan hutang tersebut.

Kepada yang menjadi ALONG, tolong hentikanlah seksaan ini. Kenanglah bahawa riba yang dimakan setiap bulan akan pasti mengheret awda ke neraka Jahanam selagi lebihan bayaran yang dikenakan tidak dikembalikan kepada yang hak.

Dan kepada yang merancang untuk berhutang kepada along-along, carilah jalan wajar untuk berbelanja secara berhemah sambil merancang perbelanjaan mengikut kesanggupan sambil memikirkan masa depan diri biskita dan juga kepada anak, cucu serta cicit biskita. Renungkanlah dan buatlah pilihan yang wajar lagi bijaksana.

– Irwan HAR, Lambak Kanan

ARTIKEL YANG SAMA