Elak jadi mangsa penipuan forex

Elak jadi mangsa penipuan forex

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) mengingatkan orang ramai untuk hanya menjalankan urusan kewangan atau pelaburan dengan individu-individu atau institusi-institusi yang dilesenkan oleh AMBD.

Peringatan ini dibuat berikutan artikel yang dikeluarkan dalam Borneo Bulletin keluaran 22 Mei 2016 mengenai warga Brunei antara yang menjadi mangsa penipuan pelaburan forex.

Dalam kenyataannya yang dikeluarkan di sini, hari ini, AMBD menjelaskan bahawa penyeliaan daripada pihak AMBD adalah bertujuan untuk melindungi pengguna kewangan dengan memastikan bahawa hanya individu-individu atau institusi-institusi yang cekap dan profesional sahaja yang layak menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan di Negara Brunei Darussalam.

Undang-undang yang dilaksanakan oleh AMBD juga menghendaki individu-individu atau institusi-institusi tersebut memberi maklumat sepenuhnya mengenai pelaburan yang ditawarkan kepada para pengguna kewangan di Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan itu lagi, jika pengguna kewangan di Negara Brunei Darussalam melibatkan diri dalam skim-skim pelaburan yang tidak dilesenkan oleh AMBD, maka pengguna kewangan tersebut tidak akan dilindungi di bawah rangka kerja penyeliaan yang ditadbir oleh AMBD, terutama sekali jika skim pelaburan tersebut beroperasi dari luar negara.

AMBD turut mengingatkan orang ramai dan pengguna kewangan akan pentingnya mengesahkan kesahihan skim-skim pelaburan yang ditawarkan dan meneliti risiko yang berkemungkinan timbul daripada melabur dalam skim tersebut terlebih dahulu.

Orang ramai dan pengguna kewangan patut mengelak daripada memfokuskan kepada pulangan yang ditawarkan sahaja, terutamanya jika pulangan tersebut jauh bezanya daripada pulangan yang biasa ditawarkan oleh individu-individu atau institusi yang dilesenkan oleh AMBD.

Jika satu tawaran itu rasanya terlalu baik untuk menjadi kenyataan, besar kemungkinan ia satu penipuan.

Senarai nama individu-individu dan institusi yang dilesenkan oleh AMBD boleh didapati melalui AMBD App, yang boleh dimuat turun secara percuma melalui ‘App Store’ bagi pengguna iPhone dan ‘Google Playstore’ bagi pengguna Android; atau dengan melayari laman sesawang AMBD di  http://www.ambd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA