Elak ‘lepas batuk di tangga’

Elak ‘lepas batuk di tangga’

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Okt –Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC), Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, hari ini menyelar pihak yang membuat pemilihan atlet kebangsaan secara E-Referendum yang dikelilingkan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi melalui e-mel.

Ketika bersabda pada Mesyuarat Pos Motem Pencapaian Atlet Kebangsaan di Sukan Remaja Komanwel 2015 yang berlangsung di Apia, Samoa baru-baru ini, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara menegaskan, pemilihan atlet kebangsaan untuk mewakili negara ke kejohanan sukan serantau dan antarabangsa hendaklah melalui proses pemilihan yang lazim dibuat oleh Jawatankuasa Tertinggi Penilaian dan Pemilihan Kebangsaan, dan bukannya melalui E-Referendum seperti yang dibuat bagi pemilihan atlet Sukan Remaja Komanwel 2015.

Hadir pada mesyuarat yang berlangsung di Bilik Persidangan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah dan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Pengerusi mesyuarat.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara bersabda, pemilihan melalui E-Referendum bukanlah merupakan cara pemilihan atlet yang betul, sebaliknya seolah-olah ‘melepaskan batuk di tangga’ yang memaksa ahli jawatankuasa membuat keputusan secara persendirian tanpa hujah-hujah yang kukuh, sambil berharap tindakan seperti itu tidak akan dijadikan budaya pada masa akan datang.

“Kesuntukan masa, atau tidak ada masa yang bersesuaian untuk bermesyuarat tidak sepatutnya dijadikan alasan, memandangkan tarikh-tarikh sukan serantau dan antarabangsa itu sudah diketahui sejak awal lagi, justeru perancangan dan persediaan awal itu sangat penting demi memastikan keberkesanan pelaksanaannya,” sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara.

DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan mengurniakan sabda.
DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan mengurniakan sabda.
Ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh pengerusi majlis.
Ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh pengerusi majlis.

Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara lagi, proses penilaian dan pemilihan yang lazim dibuat oleh Jawatankuasa Tertinggi mestilah dipertahankan kerana dalam mesyuarat itu, mereka dapat berbincang dan bertukar-tukar pandangan secara terbuka, terutama dalam menilai sama ada atlet yang dicalonkan memenuhi enam syarat yang telah ditetapkan.

Selain itu, pada mesyuarat pemilihan itu juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi dapat mendengar perubahan-perubahan dasar kerajaan, jika ada, dan penerangan daripada pihak BDNOC mengenai perkara yang perlu diambil perhatian, di samping penjelasan daripada jurulatih, sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara.

Terdahulu, dalam sembah alu-aluannya ,Dato Paduka Dr Haji Affendy melaporkan bahawa Negara Brunei Darussalam telah menyertai dua acara sukan iaitu renang dan olahraga di Kejohanan Sukan Remaja Komanwel 2015 yang berlangsung di Apia, Samoa pada 5 hingga 11 September 2015.

Pada kejohanan itu ,atlet muda negara telah gagal meraih sebarang pingat, namun tiga atlet berjaya memecahkan rekod peribadi masing-masing, rekod peringkat umur dan rekod kebangsaan bagi atlet renang negara.

Ekoran kegagalan meraih sebarang pingat, beliau mencadangkan supaya Jawatankuasa Tertinggi mengenal pasti kelemahan-kelemahan dan isu yang ada serta mengambil langkah positif dan proaktif untuk memperbaikinya.

Sementara itu, Chef de Mission negara bagi Sukan Remaja Komanwel 2015, Dayang Mariam binti Ulat, dalam laporannya mencadangkan, bagi penyertaan akan datang para atlet hendaklah dipersiapkan lebih awal terutama dalam acara sukan renang dan juga olahraga kerana kedua-dua sukan itu lazimnya termasuk dalam senarai sukan yang dipertandingkan.

“Kedua-dua sukan itu menawarkan acara yang terbanyak dan kita hanya perlu mengenal pasti atlet dan acara yang boleh diketengahkan, maka persediaan awal bagi memastikan atlet negara mampu memberikan saingan,” kata beliau.

Dayang Mariam menjelaskan, atlet perempuan dalam acara lontar peluru, Dayang Ernie Sahrina binti Abdul Fattah mempunyai potensi untuk meningkat, namun beliau perlu dilatih oleh jurulatih buangan kebangsaan dan perkara itu perlu diselaraskan dengan pihak yang berkenaan supaya bakat beliau dapat diasah dengan menggunakan kaedah dan teknik buangan yang lebih sesuai mengikut perkembangan usianya untuk jangka panjang.

Manakala bagi tiga atlet lain, mereka juga perlu meneruskan latihan secara berterusan kerana mereka masih muda dan berpotensi untuk melangkah lebih jauh, dengan harapan mereka dapat menyumbangkan pingat bagi negara pada pertandingan atau kejohanan yang akan datang sama ada di peringkat umur mahupun di peringkat dewasa.

ARTIKEL YANG SAMA