Elak perbuatan bidaah di Mekah

Elak perbuatan bidaah di Mekah

MEKAH, 27 Ogos (Bernama) – Jemaah haji diminta tidak terbabit dalam perlakuan atau tingkah laku yang boleh merosakkan akidah mereka ketika berwukuf di Arafah, satu daripada rukun dalam ibadat haji.

Pengarah Operasi (Bimbingan) Tabung Haji (TH) Tengku Abdul Aziz Raja Abdullah berkata jemaah haji wajib menjaga perilaku dan tingkah laku mereka kerana hari wukuf hanya sekali dalam setahun iaitu bermula terbenamnya matahari pada 9 Zulhijjah sehingga terbitnya fajar keesokannya pada 10 Zulhijjah.

“Elakkanlah melakukan perbuatan yang boleh merosakkan akidah, di Bukit Rahmah (Jabal Rahmah) misalnya, elakkan bersolat menghadap tugu yang dibina di atas bukit itu, mengambil batu untuk dijadikan azimat, mengucup atau menulis nama atas batu dengan kepercayaan batu itu mempunyai keajaiban tertentu, atau meletakkan kepercayaan bahawa berdoa di atas bukit itu adalah mustajab,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata jemaah haji juga perlulah mengelakkan diri mereka daripada melakukan perkara khurafat atau biadaah semasa hari wukuf ataupun ketika melakukan ziarah di Bukit Rahmah.

“Berdoa hanyalah pada Allah, bukannya percaya kepada tugu atas bukit itu atau Bukit Rahmah, jangan memohon hajat daripada bukit berkenaan, jangan meletakkan kepercayaan bahawa berdoa di situ adalah mustajab.

Hujan rahmat menyambut ketibaan jemaah haji KT8 dari Madinah kira-kira 5.30 petang waktu Arab Saudi semalam. – Bernama
Hujan rahmat menyambut ketibaan jemaah haji KT8 dari Madinah kira-kira 5.30 petang waktu Arab Saudi semalam. – Bernama

“Ada yang mengatakan berdoa untuk mendapatkan jodoh adalah paling mustajab di Jabal Rahmah, perlulah diperbetulkan bahawa janganlah kita meletakkan kepercayaan bahawa berdoa di bukit itu mustajab. Rasulullah sendiri tak pernah naik bukit berkenaan dan bersembahyang di atas bukit itu.” katanya.

Menurut riwayat yang disokong majoriti para ulama, Jabal Rahmah yang terletak kira-kira 22km dari Mekah itu merupakan tempat pertemuan Nabi Adam dan Hawa selepas mereka diturunkan ke bumi. Jabal bermaksud bukit manakala Rahmah bermaksud kasih sayang.

Sebuah tugu berukuran 8 meter tinggi dan 1.8 meter dibina di atas bukit itu sebagai tanda tempat pertemuan Adam dan Hawa.

Beliau bagaimanapun berkata adalah tidak salah sekiranya jemaah haji mahu mendaki bukit itu: “Tidak salah, dengan menaiki bukit itu, kita akan dapat melihat keseluruhan kawasan Arafah.”

Bagaimanapun Tengku Abdul Aziz berkata jemaah haji perlulah mengambil peluang berdoa kepada Allah semasa berwukuf.

“Hari wukuf hanya setahun sekali, merayulah, berdoalah kepada Allah, mohonlah kebaikan kepada diri sendiri, keluarga, kepada sahabat, dan negara, para ulama berpendapat berdoa kepada Allah pada hari wukuf dalah doa paling mustajab,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA