Elak tertipu sindiket

Elak tertipu sindiket

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 8 Jan – Polis tidak menerima sebarang laporan dan aduan daripada orang awam dan penduduk negara jiran, Brunei yang didakwa menjadi mangsa sindiket pelaburan token emas di daerah ini seperti yang disebarkan dalam aplikasi WhatsApp dan Facebook.

Ketua Polis Daerah Limbang Superitenden Mohd Bukhori Saffai menjelaskan mangsa yang menjadi penipuan kepada sindiket terbabit seharusnya tampil membuat laporan polis bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan.

“Tiada laporan polis dibuat oleh mangsa penipuan sindiket pelaburan token emas seperti yang didakwa,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas mengenai isu tersebut hari ini.

Jelas beliau lagi siasatan akan dijalankan sekiranya laporan dan maklumat diberikan oleh mangsa terbabit.

Pelaburan token emas yang banyak memperdaya mangsa.
Pelaburan token emas yang banyak memperdaya mangsa.

Beliau turut menasihati orang awam yang terlibat dengan sindiket berkenaan agar meminta sijil pendaftaran daripada sindiket terbabit dan menyemaknya dengan Bank Negara.

“Mereka juga boleh membuat laporan polis agar siasatan dapat dijalankan,” katanya lagi.

Sementara itu beberapa individu terutama dari Brunei mendakwa menjadi mangsa sindiket pelaburan token emas yang menjanjikan pulangan cepat tiap-tiap bulan.

Modus operandi yang dijalankan sindiket berkenaan adalah untuk menarik lebih ramai pelanggan melabur ke dalam sindiket berkenaan, bagaimanapun pejabat sindiket itu akan ditutup bagi mengelak dihidu orang awam.