Elektrik murah tarik pelabur ke SIP

Elektrik murah tarik pelabur ke SIP

BINTULU, 17 Nov (Bernama) – Pakej kompetitif, terutamanya dengan kadar elektrik yang lebih murah, merupakan faktor penarik yang menarik pelabur utama ke Taman Perindustrian Samalaju (SIP) yang terletak kira-kira 62 kilometer dari Daerah Perniagaan Pusat Bintulu.

Para pelabur ini yakin dengan sumber tenaga boleh diperbaharui mencukupi yang diperoleh daripada stesen jana kuasa elektrik hidro Bakun dan Murum.

SIP yang terletak di tapak seluas 8,000 hektar (saiz bandar raya Manhattan) dijangka menerima lebih ramai pelabur, terutamanya pelabur utama asing, untuk merealisasikan hasratnya menjadi satu daripada taman perindustrian paling berteknologi tinggi di Asia Tenggara.

SIP, yang dihubungkan menerusi jalan pesisir pantai Bintulu-Miri dan Lebuh Raya Pan Borneo, ditubuhkan untuk memindahkan industri berat dan berintensifkan tenaga jauh dari bandar Bintulu.

Ia juga berdekatan dengan Pelabuhan Laut Dalam Samalaju, dan bakal mempunyai taman eko, perbandaran baharu, projek perumahan dan kemudahan lain.

Lima syarikat telahpun bertapak di sana — Tokuyama Corp dari Jepun, Press Metal Bhd dari Malaysia, OM Materials Ltd (OMH) dari Singapura, Permata Ferroalloys dari Hong Kong dan Sakura Ferroalloys dari Afrika Selatan/Jepun.

Tokuyama terlibat dalam pengeluaran silikon polihabluran, Press Metal (jongkong aluminium dan bilet), Permata Ferroalloys (silikon mangan), Om Materials (ferro mangan) dan Sakura Feroalloys (ferro silikon mangan).