ELX bantu padankan pencari kerja dan majikan

ELX bantu padankan pencari kerja dan majikan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jun – Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri kelmarin telah melancarkan Sistem Electronic Labour Exchange (ELX) yang berlangsung di Ruang Legar, Tingkat bawah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Pelancaran disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Yang Berhormat Pehin ketika ditemui menekankan mengenai usaha kerajaan di negara ini untuk menimbulkan suasana pemasaran kerja dikalangan rakyat dan penduduk tetap dan memperkembangkan lagi hubungan para majikan bersama dengan para pencari kerja.

Beliau berharap agar kesemua majikan-majikan yang mempunyai kekosongan pekerjaan untuk ditawarkan kepada anak-anak tempatan agar segera menyertai sistem ini.

Sementara itu APTK dalam satu kenyataan berkata, peranan agensi itu adalah khusus untuk membina jambatan antara majikan dengan pencari kerja terutama bagi memperluaskan peluang pekerjaan kepada rakyat dan penduduk tetap di negara ini.

Yang Berhormat Pehin Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa melancarkan sistem ELX.
Yang Berhormat Pehin Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa melancarkan sistem ELX.

Sehubungan itu, APTK telah menyediakan satu landasan bagi memudahkan pencari kerja untuk mencari pekerjaan dan majikan dalam proses pengambilan pekerja melalui sistem ELX yang boleh diakses melalui lama sesawang www.jobcentrebrunei.gov.bn

Melalui sistem ELX ini, pencari kerja tempatan akan dapat mendaftar serta mengemaskinikan profil peribadi secara online dimana maklumat-maklumat ini boleh diakses oleh majikan-majikan.

Di samping itu, pencari kerja tempatan juga boleh memohon mana-mana jawatan kosong yang diiklankan majikan, memohon kursus yang ditawarkan di ELX dan menyemak status permohonan, dimana notifikasi akan diterima melalui SMS dan emel.

Pada masa yang sama, majikan boleh memuat naik jawatan kosong dan secara automatik majikan akan mendapatkan senarai nama dengan kaedah job matching dan juga dapat memaklumkan proses temu duga melalui SMS dan emel di dalam sistem ini.

Sistem ELX diperkenalkan untuk memberikan majikan pilihan dalam proses pengambilan pekerja.

ELX akan memudahkan dan mempercepatkan syarikat dalam pengambilan pekerja tempatan yang tidak akan menjejaskan operasi syarikat, pada masa yang sama ELX juga akan menjimatkan kos perbelanjaan pengambilan pekerja berbanding dengan pengambilan pekerja asing.

Pemangku Ketua Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK), Haji Shahrul Jeffri bin Dato Paduka Haji Ibrahim dalam ucapannya menyeru agar bakal pekerja-pekerja tempatan untuk menunjukkan prestasi kerja yang baik dan mengamalkan ciri-ciri etika kerja yang murni agar anggapan negatif terhadap pekerja tempatan yang bekerja di sektor swasta akan dapat dihakis.

Sistem ELX ini dilaksanakan secara berfasa dimana Fasa 1 (Populate Data) telah melibatkan pendaftaran syarikat-syarikat ke dalam sistem ELX untuk menyelaraskan jawatan-jawatan kosong dan kelulusan mengikut taraf antarabangsa.

Secara rasminya Fasa 2 (ELX Go Live) akan dijalankan semasa majlis pelancaran sistem ELX ini. Pada masa yang sama, dalam membantu orang ramai menggunakan sistem ini, ‘Help Desk ELX’ di keempat daerah juga dibukakan.

Seterusnya Fasa 3 (Kickstart Roadshow) iaitu pemberigaan melalui jerayawara pada penghujung tahun ini. Manakala, Fasa 4 (ELX Upgrade) akan memfokuskan kepada pengemaskinian dan penambah baikan sistem ELX.

ARTIKEL YANG SAMA