Emas buat SR SUAS

Emas buat SR SUAS

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Pingat emas Kejohanan Bola Jaring Bagi Sekolah-Sekolah Rendah Kerajaan & Pendidikan Swasta Kawasan Brunei IIB, 2016 menjadi milik Sekolah Rendah (SR) Sultan Umar Ali Saifuddin (SUAS), Muara selepas menang 11-8 ke atas SR Serasa di perlawanan akhir.

Bukan itu saja, pemain Goal Attack (GA) SR SUAS Muara, Izzatunabihah binti Haji Zulaini telah diumumkan selaku penerima anugerah Pemain Terbaik kejohanan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan berkenaan.

Pada kejohanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), pingat gangsa telah dimenangi SR Angkatan Tentera Laut (ATL), Muara setelah menang tipis 2-1 ke atas SR Dato Mohd Yassin (DMY), Mentiri dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

Hadir menyaksikan perlawanan akhir dan kemudiannya menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Ketua Unit Kegiatan Luar, Jabatan Sekolah-Sekolah (JSS), Kementerian Pendidikan, Pengiran Othman bin Pengiran Karim.

Semasa acara final, SR SUAS Muara mendahului SR Serasa 5-0 pada suku masa pertama, namun SR Serasa bangkit dengan tiga jaringan pada suku masa kedua berbanding hanya satu gol dijaringkan SR SUAS Muara untuk kedudukan 6-3.

Pengiran Othman ketika menyerahkan Piala Pemain Terbaik kepada Izzatunabihah yang bermain dalam posisi GA untuk SR SUAS Muara.
Pengiran Othman ketika menyerahkan Piala Pemain Terbaik kepada Izzatunabihah yang bermain dalam posisi GA untuk SR SUAS Muara.

SR Serasa terus bermain baik pada suku masa ketiga sehingga berjaya menambah empat lagi jaringan berbanding hanya tiga gol buat SR SUAS Muara namun SR SUAS Muara masih mendahului dua gol pada kedudukan 9-7.

Suku masa keempat menyaksikan SR Serasa berpeluang merapatkan dan menyamakan kedudukan tetapi gagal memanfaatkan peluang terhidang menjaringkan gol sehinggalah SR SUAS Muara berjaya menjaringkan dua gol pantas dalam serangan yang jarang sebelum SR Serasa mendapatkan gol disaat-saat akhir untuk keputusan muktamad 11-8.

Perlawanan penentuan tempat ketiga pula menyaksikan SR DMY Mentiri mendahului 1-0 pada suku masa pertama dan kedudukan itu kekal sehingga suku masa kedua berakhir.

SR ATL Muara menjaringkan dua gol pada suku masa ketiga untuk mendahului 2-1 dan kedudukan itu tidak berubah sehingga suku masa keempat berakhir.

ARTIKEL YANG SAMA