Embolo wira Schalke

Embolo wira Schalke

BERLIN, 3 Okt – Breel Embolo akhirnya menamatkan penantian gol pertamanya buat Schalke 04 sejak melengkapkan perpindahan bernilai AS$24.5 juta dengan membantu pasukannya membenam Borussia Moenchengladbach 4-0, pagi tadi.

Embolo sudah mengharungi lima perlawanan tanpa gol sejak tiba dari Basel pada Jun lalu dan dia akhirnya menjawab kritikan peminat dengan meledak dua gol selepas buntu pada babak pertama.

Kemenangan itu membantu Schalke terkeluar daripada zon penyingkiran selepas tewas pada semua lima aksi pertama Bundesliga musim ini.

“Saya gembira kerana berjaya menjaringkan gol, tetapi perkara utama adalah kami menang dan kami mendapat ganjaran daripada persembahan baik tadi,” kata Embolo yang berusia 19 tahun.

Mengulas mengenai tindakannya menutup telinga ketika meraikan gol, Embolo mendedahkan isyarat itu gara-gara prestasi hambar Schalke yang membawa kepada kritikan oleh media Jerman.

(Dari kiri) Leon Goretzka, Nabil Bentaleb, Breel Embolo and Eric Maxim Choupo-Moting meraikan jaringan ketika perlawanan antara Schalke 04 dan Borussia Moenchengladbach di Gelsenkirchen, Jerman. – AFP
(Dari kiri) Leon Goretzka, Nabil Bentaleb, Breel Embolo and Eric Maxim Choupo-Moting meraikan jaringan ketika perlawanan antara Schalke 04 dan Borussia Moenchengladbach di Gelsenkirchen, Jerman. – AFP

“Banyak yang diperkatakan dan ditulis mengenai pasukan ini, dan saya mahu menunjukkan bahawa kami perlu teruskan dan tidak mengambil peduli sebarang komen negatif,” kata penyerang Switzerland itu.

Schalke hanya memerlukan enam minit pada separuh masa kedua untuk menyumbat tiga gol bermula dengan penyudah penalti Eric Choupo-Motin pada minit ke-52 diikuti gol Embolo (m-56) dan Leon Goretzka (m-58).

Embolo kemudian melengkapkan kemenangan skuad tuan rumah selepas bijak memperdayakan pertahanan Moenchengladbach, Andreas Christensen dan penjaga gol Yann Sommer pada minit ke-83. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA