Emenalo dedah punca Mourinho dipecat

Emenalo dedah punca Mourinho dipecat

LONDON, 18 Dis (AFP) – Chelsea memutuskan untuk memecat Jose Mourinho selepas ‘hubungan tegang antara pengendali itu dan anak buahnya’ meletakkan kelab dalam keadaan sukar, kata pengarah teknikal Michael Emenalo semalam.

Kelab London itu mengumumkan Mourinho meninggalkan kelab atas persetujuan bersama selepas deretan sembilan kekalahan dalam 16 perlawanan yang menyaksikan juara Liga Perdana Inggeris itu hanya satu mata di atas zon penyingkiran.

Menurut Mourinho, pemain-pemain ‘mengkhianati’ usahanya selepas kekalahan 2-1 di Leicester City Isnin lalu – perlawanan terakhir kendaliannya – dan Emenalo mengesahkan hubungan antara pengendali dari Portugal itu dengan skuad sudah retak.

“Hakikat yang perlu diterima ialah Kelab Bola Sepak Chelsea berada dalam keadaan sukar,” kata Emenalo kepada Chelsea TV.

“Keputusan-keputusan perlawanan tidak bagus, “Jelas sekali wujud ketegangan antara pengendali dan pemain. Kami rasa sudah tiba masanya untuk bertindak.”

Emenalo yang menyertai Chelsea sejak tahun 2007, berkata prestasi buruk kelab menyebabkan pemilik, Roman Abramovich tiada pilihan lain selain memecat Mourinho buat kali kedua. “Pemilik terpaksa membuat keputusan sukar ini demi kebaikan kelab,” kata bekas pemain tengah Nigeria itu. “Chelsea, antara kelab terbesar dunia, kini hanya satu mata di atas zon penyingkiran, itu sudah cukup untuk menggambarkan situasi kami.”

Pengendali dari Belanda, Guus Hiddink, yang dilantik mengendali sementara Chelsea pada tahun 2009, dikatakan akan kembali memainkan peranan sama kali ini.

Bagaimanapun menurut Emenalo, tiada masalah buat Chelsea untuk turun menentang Sunderland esok tanpa kehadiran pengendali pasukan.

ARTIKEL YANG SAMA