Emenike sah milik West Ham

Emenike sah milik West Ham

LONDON, 1 Feb – West Ham United sah menandatangani penyerang Nigeria, Emmanuel Emenike (gambar) secara pinjaman sehingga akhir musim ini daripada Fenerbahce dengan pilihan menjadikan perjanjian itu sebagai tetap, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, semalam.

Penyerang berusia 28 tahun, yang membuat 37 penampilan untuk Nigeria, sudah menjaringkan lebih 80 gol di peringkat kelab, termasuk tujuh gol sepanjang dipinjamkan kepada kelab yang berpangkalan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Al-Ain.

Pada 2013, dia membantu Nigeria menjuarai Piala Negara Afrika, muncul sebagai penjaring terbanyak dengan empat gol, dan dia turut beraksi di Piala Dunia 2014 buat skuad Super Eagles itu.

Emenike yang sebelum ini pernah mengenali pengurus West Ham Slaven Bilic, berkata dia begitu gembira untuk bekerjasama dan beraksi di bawah pengendali kelahiran Croatia itu.

“Apabila dia di Lokomotiv Moscow, saya di Spartak Moscow, kemudian dia muncul di Besiktas dan saya di Fenerbahce, jadi kami sangat mengenali antara satu sama lain sekian lama.

pg20_160202_c

“Saya gembira untuk berada di sini dan gembira mendapat peluang bermain untuknya,” katanya kepada laman web West Ham (www.whufc.com).

Emenike telah dipinjamkan ke Al-Ain di UAE pada tahun lepas, dengan menjaringkan tujuh gol dalam 11 aksi perlawanan. Emenike memulakan kerjayanya dengan Delta Force di Nigeria sebelum berpindah ke Afrika Selatan dengan Mpumalanga Black Aces dan Cape Town. – Reuters