Emirates, MAS umum 15 laluan domestik baharu

Emirates, MAS umum 15 laluan domestik baharu

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) – Emirates dan Malaysia Airlines telah mengukuhkan kerjasama mereka dengan memperkenalkan 15 laluan domestik yang baharu termasuk memperkenalkan kelebihan kekerapan penerbangan di bawah perjanjian perkongsian kod mereka.

“Laluan itu termasuk Langkawi, Pulau Pinang, Alor Setar, Kota Baru, Kuantan, Kuala Terengganu, Johor Baharu, Kuching, Miri, Bintulu, Sibu, Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Labuan,” kata Naib Presiden Eksekutif Emirates/Ketua Pegawai Komersil Thierry Antinori dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, perkongsian kod dengan Malaysia Airlines akan memberikan opsyen perjalanan yang lebih baik kepada penumpang syarikat penerbangan itu untuk melawat 15 tempat di Malaysia serta destinasi lain di rantau ini dengan kemudahan sambungan di Kuala Lumpur.

“Para pelancong dari rantau ini juga akan mendapat manfaat melalui rangkaian yang diperluaskan termasuk 90 destinasi di seluruh Eropah, Asia Barat, Afrika dan Amerika,” katanya.

Anggota Emirates Skywards dan Enrich Malaysia Airlines, anggota penerbangan kerap syarikat-syarikat penerbangan itu, akan mendapat mata atau menebus batuan penerbangan antarabangsa dan domestik yang dioperasikan oleh kedua-dua syarikat penerbangan.

Emirates juga mengumumkan bahawa ia akan menawarkan tambang istimewa untuk pelancong di Malaysia, mulai hari ini sampai 8 April bagi perjalanan sehingga 31 Dis.