Emirates perkenal A380 dengan dua kelas penumpang untuk pasaran Malaysia

Emirates perkenal A380 dengan dua kelas penumpang untuk pasaran Malaysia

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) – Emirates Airline yang berpangkalan di Dubai akan memperkenalkan pesawat A380 terbaharunya dengan dua kelas penumpang untuk penerbangan Kuala Lumpur-Dubai.

Bermula 1 Januari 2016, penumpang boleh menikmati keselesaan terbaik dalam pesawat A380 yang akan membuat penerbangan harian, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut syarikat penerbangan itu, A380 itu telah direka untuk menampung 615 penumpang yang dibahagikan dalam dua kelas iaitu 58 tempat duduk di Kelas Perniagaan dan 557 kerusi dalam Kelas Ekonomi.

Perkongsian syarikat penerbangan itu dengan Malaysia bermula pada Oktober 1996 apabila ia melancarkan penerbangan ke Kuala Lumpur dan sekali gus merangsang perdagangan antara Malaysia dan negara-negara lain melalui seluruh rangkaiannya.

Sekarang ini, ia menghubungkan Kuala Lumpur ke Dubai dengan 28 penerbangan seminggu dan penerbangan harian di antara Kuala Lumpur dan Melbourne.