Emirates tangguh pelancaran

Emirates tangguh pelancaran

BANDAR PANAMA, 3 Mac (AFP) – Emirates Airline, yang dijadualkan melancarkan apa yang digelarnya penerbangan tanpa henti paling lama di dunia pada bulan ini di antara Dubai dan Bandar Panama, berkata semalam ia sedang menangguhkan pelan berkenaan selama setahun.

Pelancaran itu, yang dijangka diadakan pada 31 Mac, kini boleh berlaku pada akhir 2016 atau awal 2017 disebabkan ‘faktor operasi’, kata syarikat penerbangan Dubai dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Panama.

Emirates mengumumkan pada Ogos ia akan melancarkan penerbangan paling lama di dunia, pada 17 jam dan 35 minit di antara kedua-dua pusat perniagaan itu, menjadikan Panama destinasi pertama syarikat penerbangan di Amerika Tengah.

Syarikat itu berkata ia akan menawarkan penerbangan harian ke ibu negara Panama dengan pesawat udara Boeing 777-200LR, yang juga boleh membawa 15 tan kargo.

Bagaimanapun, syarikat itu berkata selepas kajian menyeluruh, ia akan menangguhkan penerbangan sekarang selepas “menimbang semua faktor operasi, termasuk penggunaan armada dan permintaan komersial.”

Di antara penerbangan paling lama lain di dunia adalah satu yang menghubungkan Dallas ke Sydney (hampir 17 jam), Johannesburg ke Atlanta (16 jam 40 minit) dan Dubai ke Los Angeles (16 jam 35 minit).

Sebelumnya, penerbangan paling lama, mengambil hampir 19 jam, menghubungkan Singapura dan New York dan dikendalikan oleh Singapore Airlines. Namun ia digantung pada 2013 untuk mengurangkan kos.

Emirates berkata ia masih berminat untuk menghubungkan rangkaian penerbangannya ke rantau dan akan mengekal kakitangannya di Panama.

Sementara itu, semalam syarikat penerbangan Jerman Lufthansa melancarkan penerbangan terus ke Panama, yang dikatakan oleh syarikat merupakan penerbangan pertamanya ke Amerika Tengah.

Penerbangan, yang menghubungkan Bandar Panama dan Frankfurt, akan diadakan lima kali seminggu oleh Airbus A340-300 dengan kapasiti 298 penumpang.