Emosi cetus 75% penyakit

Emosi cetus 75% penyakit

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Fikiran menjana emosi, emosi mencetuskan tindakan, tindakan menghasilkan kehidupan iaitu termasuk kesihatan, ketenangan hidup, kebahagiaan dan kewangan.

Perkara tersebut adalah salah satu konsep yang diterangkan oleh seorang penceramah undangan dari Malaysia, Profesor Dr Muhaya Haji Muhamed semasa menyampaikan ceramah motivasi bertajuk ‘Rahsia Keluarga Bahagia’ di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas (ICC), pagi tadi.

Dalam ceramah itu lagi, Prof Dr Muhaya menyatakan bahawa 75% penyakit manusia adalah terhasil daripada emosi manusia itu sendiri. Oleh itu, beliau menekankan kepentingan untuk sentiasa bersyukur, berfikiran positif serta memasukkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan yang akan mempengaruhi hasil kehidupan manusia.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman dan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Yang Berhormat Pehin Haji Hazair dan Datin Paduka Hajah Adina bersama para tetamu yang lain hadir di Majlis Ceramah Motivasi ‘Rahsia Keluarga Bahagia’ di ICC.
Yang Berhormat Pehin Haji Hazair dan Datin Paduka Hajah Adina bersama para tetamu yang lain hadir di Majlis Ceramah Motivasi ‘Rahsia Keluarga Bahagia’ di ICC.
Profesor Dr Muhaya ketika menyampaikan ceramahnya yang dihadiri kira-kira 1,000 orang.
Profesor Dr Muhaya ketika menyampaikan ceramahnya yang dihadiri kira-kira 1,000 orang.

Ceramah motivasi yang diadakan selama dua hari, bersempena Hari Keluarga Kebangsaan 2015 anjuran Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Syarikat Green Pearl Marketing & Services, melibatkan penyertaan kira-kira 1,000 orang terdiri daripada wakil-wakil jabatan kerajaan, sektor swasta, pelajar-pelajar dan persatuan-persatuan.

Ia akan disambung esok, 8 Ogos dengan membawa tajuk ‘Peranan Wanita Dekad ini.’

Ceramah ini adalah sebagai salah satu inisiatif bagi meningkatkan lagi kefahaman orang ramai mengenai kepentingan peranan institusi keluarga dalam membina keluarga bahagia dan harmoni, kukuh dan berdaya tahan, serta meningkatkan pemahaman mengenai kepentingan agama dalam kehidupan berkeluarga dan secara individu.

ARTIKEL YANG SAMA