Empangan Murum S’wak dirasmikan

Empangan Murum S’wak dirasmikan

BINTULU, 27 Sept – Projek pembinaan kuasa hidro terbesar Sarawak Energy Berhad (SEB) Empangan Hidroelektrik Murum, di pedalaman Belaga, kira-kira 200 kilometer dari sini, dibuka secara rasmi hari ini.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud merasmikan empangan berharga RM4.1 bilion itu yang mampu membekalkan sehingga 944 megawatt (MW) iaitu membekalkan tenaga diperbaharui, mampan dan harga berpatutan untuk negeri ini.

Turut hadir Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, Pengerusi SEB Datuk Amar Hamed Sepawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Torstein Dale Sjotveit serta tetamu jemputan yang diadakan di tapak loji itu.

Turut hadir menteri Kabinet negeri, persekutuan dan wakil negeri, pegawai kerajaan, pemimpin masyarakat, penduduk Penempatan Semula Murum (kira-kira 1,400 orang yang terjejas) dan tetamu jemputan lain.

Empangan Murum adalah empangan hidroelektrik kedua milik SEB selepas Loji Hidroelektrik Batang Ai di Bahagian Sri Aman.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud menandatangani plak pada majlis perasmian Empangan Hidroelektrik (HEP) Murum kelmarin. – Bernama
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud menandatangani plak pada majlis perasmian Empangan Hidroelektrik (HEP) Murum kelmarin. – Bernama

Menurut SEB, kejayaan Murum ‘menandakan kejayaan berterusan’ dalam strategi pembangunan kerajaan negeri bagi mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Pembinaannya dijalankan sya-rikat Three Gorges Development Company (M) Sdn Bhd pada 2008 dan beroperasi sepenuhnya pada 2016.

Dengan siapnya pembinaan empangan itu membolehkan kerajaan negeri mengurangkan tarif elektrik untuk kegunaan tempatan, komersial dan industri bukan SCORE (Koridor Tenaga Diperharui Sarawak) tahun lepas.

Pelanggan yang berpangkalan di Sarawak kini menikmati kadar paling rendah di negara ini dan antara yang termurah di rantau ini.

Empangan Murum, 100 peratus projek milik kerajaan negeri Sarawak, mempunyai pelongsor alur limpah tertinggi di dunia iaitu 141 meter dan reka bentuknya yang inovatif. – Bernama