Empat ahli PPPBD ikuti perkhemahan Pusako Girl Guides Contenary

Empat ahli PPPBD ikuti perkhemahan Pusako Girl Guides Contenary

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN – Empat orang ahli Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) telah berlepas ke Malaysia bagi menyertai Perkhemahan Pusako Girl Guides Centenary yang bermula pada 28 November yang lalu hingga 1 Disember 2016 ini.

Penyertaan negara buat julung kalinya dalam perkhemahan anjuran Persatuan Pandu Puteri Negeri Sembilan, Malaysia itu adalah sempena 100 tahun penubuhan Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, bagi mengucapkan selamat berlepas kepada kumpulan berkenaan ialah Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Siti Hafsah binti Haji Abdul Halim dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Viviyanti binti Haji Aji.

Sebelum berlepas, Doa Selamat telah dibacakan oleh Awang Nasib bin Ismail.

Pesuruhjaya Perhubungan PPPBD, Dayang Nasriah binti Awang Nasib semasa ditemui di ruang berlepas menjelaskan bahawa antara lain objektif perkhemahan ini adalah untuk mengembangkan potensi peserta melalui pelbagai kegiatan kepanduan yang mencabar.

Gambar ramai rombongan bersama ahli PPPBD di ruang berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas.
Gambar ramai rombongan bersama ahli PPPBD di ruang berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas.

Selain itu, untuk mempromosi persefahaman, persahabatan dan kerjasama antarabangsa sebagai warganegara global yang bertanggungjawab.

Menurut beliau lagi, sepanjang perkhemahan itu, peserta akan diuji dari pelbagai aspek antaranya aspek fizikal, mental dan sosial melalui aktiviti lasak dan mencabar yang telah dirancang serta didedahkan pada program World Association of Girl Guides and Girl Scouts (WAGGGS).

Dengan penyertaan negara ke perkhemahan ini, beliau berharap akan dapat membantu meningkatkan kualiti dan potensi ahli-ahli PPPBD terutama ahli-ahli muda sebagai pelapis pemimpin persatuan yang sedia.

“Di samping meneruskan visi dan misi persatuan untuk mengembangkan potensi kanak-kanak perempuan hingga wanita muda bagi Brunei dan dunia yang bertanggungjawab,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA