Empat anggota pergerakan Hamas kena culik

Empat anggota pergerakan Hamas kena culik

KAHERAH, 21 Ogos (AFP) – Sekumpulan lelaki bersenjata menculik empat anggota pergerakan Hamas dari sebuah bas yang menuju ke Kaherah dari Semenanjung Gaza, menurut pegawai keselamatan Mesir semalam.

Identiti kumpulan lelaki bersenjata terbabit, yang menahan sebuah bas berhampiran pusat penyeberangan sempadan Rafah dengan Gaza malam Rabu lepas, masih belum diketahui.

Hamas mempersalahkan Mesir kerana penculikan itu yang ia sifatkan sebagai “rampasan keselamatan” yang setentunya akan menjejaskan lagi hubungan dengan Kaherah.

Pegawai keselamatan Mesir berkata empat lelaki melepaskan tembakan ke arah bas berkenaan, memaksanya berhenti, sebelum menyerang pemandu dan menculik anggota Hamas selepas memeriksa identiti dokumen mereka.

Ketika kejadian berlaku, bas tersebut membawa 50 penumpang.

Aksi seorang kanak-kanak Palestin di dalam sebuah bas tatkala penumpang menunggu untuk menyeberangi sempadan Rafah tempat berlakunya penculikan empat anggota Hamas, pada 20 Ogos 2015. – AFP
Aksi seorang kanak-kanak Palestin di dalam sebuah bas tatkala penumpang menunggu untuk menyeberangi sempadan Rafah tempat berlakunya penculikan empat anggota Hamas, pada 20 Ogos 2015. – AFP

Pegawai-pegawai berkata para penculik memakai pakaian “jenis Pakistan”. Sebahagian anggota militan di Sinai memakai pakaian stail tunik yang biasa dikenakan oleh warga Pakistan dan Afghanistan.

Setakat ini masih belum jelas sama ada bas dikawal pengiring polis ketika diserang kumpulan bersenjata seperti yang dakwa oleh Hamas dalam kenyataannya.

Jalan raya dari pusat penyeberangan sempadan Rafah, yang sekali-sekali dibuka oleh Mesir, merentasi melalui Sinai Utara yang ketiadaan undang-undang di mana kumpulan jihad Negara Islam (IS) melancarkan pemberontakan.

ARTIKEL YANG SAMA