Empat bank Islam Malaysia bentuk konsortium

Empat bank Islam Malaysia bentuk konsortium

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Empat bank Islam Malaysia, Affin  Islamic Bank Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Maybank Islamic Bhd telah membentuk konsortium bagi membangunkan platform pelbagai bank untuk memasarkan produk akaun pelaburan.

Konsortium yang dikenali sebagai Raeed Holdings Sdn Bhd (Raeed), dimiliki secara sama rata oleh keempat-empat bank Islam berkenaan.

Lembaga Pengarah syarikat Raeed terdiri daripada Ketua-ketua Pegawai Eksekutif empat bank terbabit.

Pengerusi Raeed Datuk Zamani Abdul Ghani berkata penubuhan konsortium itu merupakan inisiatif penting dalam industri kewangan Islam Malaysia.

“Ini merupakan kali pertama bank-bank Islam di Malaysia bersatu dan menubuhkan entiti untuk melaksanakan aktiviti perniagaan berkepentingan bersama,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Zamani ialah Pengerusi Bank Islam dan bekas timbalan gabenor Bank Negara Malaysia.

Di peringkat awal, Raeed telah menubuhkan anak syarikat milik penuh, IAP Integrated Sdn Bhd, bagi membangunkan dan mengurus platform pelbagai bank yang dikenali sebagai Platform Akaun Pelaburan (IAP) yang diumumkan dalam Bajet 2015.

IAP akan berperanan sebagai platform pelbagai bank berpusat yang membolehkan pelabur berpotensi mengkaji dan memilih pelbagai projek teroka keempat-empat bank berkenaan.

IAP akan menyediakan pembiayaan baharu untuk usahawan yang mempunyai projek yang baik dan berdaya maju serta peluang untuk sektor swasta dan pelabur awam dan institusi untuk membiayai projek masing-masing. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA