Empat bot, 35 nelayan warga asing ditahan

Empat bot, 35 nelayan warga asing ditahan

KUCHING, 1 Sept (Bernama) – Op Orion Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak berjaya menahan empat bot dan 35 nelayan warga Thai dan Vietnam sepanjang empat hari operasi bermula 28 Ogos sehingga Isnin.

Ketua Penguat kuasa APMM Wilayah Sarawak (Wilsar), Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata tiga bot nelayan itu milik rakyat tempatan manakala sebuah lagi milik nelayan Vietnam.

Menurutnya APMM menggunakan lapan kapal, termasuk KM Marlin dan KM Satria dari APMM Lumut, sebuah pesawat Bombardier dari Stesen Udara Maritim Subang dengan kekuatan 140 anggota.

“Pada 28 Ogos, kapal KM Cekal menahan sebuah bot nelayan pada kedudukan 130 batu nautika dari Tanjung Sirik dan menahan lapan warga Thailand.

“Pada hari yang sama, kapal KM Bijak menahan sebuah bot dan menahan sembilan warga Thai termasuk tekong,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ismaili berkata kedua-dua bot nelayan tempatan itu ditahan kerana melakukan kesalahan syarat sah lesen mengikut Akta Perikanan 1985.

Menurutnya, pada 29 Ogos lepas, KM Marlin yang dibawa khas dari Lumut turut menahan sebuah bot nelayan asing dari Vietnam kira-kira 63 batu nautika dari Tanjung Sirik dan menahan sembilan nelayan rakyat negara itu.

“Pada hari keempat operasi, KM Rhu pula berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan di Tanjung Payung. Turut ditahan sembilan orang nelayan warga Thai,” katanya.

Ismaili berkata, kedua-dua bot nelayan itu ditahan kerana melanggar syarat lesen bot mengikut Akta Perikanan 1985.

Katanya, Op Orion itu bertujuan membanteras serta menangani isu pencerobohan nelayan asing di perairan Sarawak, isu yang diberi perhatian serius oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

“Bagi tempoh Januari hingga semalam, APMM Wilsar berjaya membuat 54 tangkapan. Daripadanya, 11 kes telah selesai dengan jumlah kompaun RM24,800 dan jumlah lelongan sebanyak RM26,012 manakala lelongan minyak pula sebanyak RM10,780,” katanya.