Empat ditahan kes curi kabel SESB

Empat ditahan kes curi kabel SESB

LABUAN, 6 Sept – Seorang lelaki dan anaknya serta dua lelaki lain ditangkap pada Sabtu berhubung kehilangan kabel Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bernilai lebih RM20,000.

Ketua Polis Labuan Supt Adzhar Othman berkata kesemua suspek berusia antara 28 dan 52 tahun itu ditahan di rumah mereka di Kampung Rancha-Rancha Laut di sini.Beliau berkata kabel sepanjang 300 kaki itu, dikenali sebagai kabel berperisai, dilaporkan hilang di kawasan simpanan terbuka Labuan Shipyard Engineering Sdn Bhd di Jalan Patau-Patau di sini pada kira-kira 10 pagi antara 26 dan 27 Ogos.

“Kabel itu, yang dihasilkan khas untuk menyalurkan tenaga elektrik di platform minyak, dibawa dari platform minyak berkenaan pada 20 Ogos dan sepatutnya dihantar ke Singapura,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, resit jualan daripada dua premis besi lusuh dan kabel tembaga di dalam karung plastik serta tin cat dirampas untuk membantu penyiasatan. – Bernama