Empat jurulatih berlepas ke Singapura

Empat jurulatih berlepas ke Singapura

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Empat orang jurulatih Pusat Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD) hari ini berlepas ke Singapura bagi menghadiri Program Latihan Jangka Pendek bagi Kemahiran dan Kelayakan yang berpangkalan di Pusat Outward Bound Singapura (OBS) bermula esok hingga 9 Mei 2016.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Pusat Outward Bound Brunei Darussalam, Bahagian Pembangunan Belia dan Sukan, di sini hari ini, program latihan kemahiran dan kelayakan ini merupakan salah satu keperluan dan syarat utama bagi melayakkan mereka diiktiraf sebagai jurulatih Outward Bound yang mempunyai standard seperti mana yang disyorkan dalam mana-mana pusat atau sekolah Outward Bound di seluruh dunia termasuklah di sini. Tanpa kelayakan tertentu diiktiraf oleh badan-badan antarabangsa, mereka tidak digalakkan untuk mengendalikan sebarang kursus di lapangan.

Menurut kenyataan akhbar itu lagi, program latihan dihadiri para jurulatih ini merangkumi pelbagai kegiatan / modul Outward Bound dan akan turut disertai oleh jurulatih-jurulatih dalam kalangan negara-negara ahli yang berdaftar dengan Outward Bound Antarabangsa (OBI) yang secara tidak langsung akan meningkatkan perhubungan ‘Networking’ para jurulatih khususnya dalam perkongsian ilmu dan pengalaman dalam dunia kejurulatihan ‘Outward Bound’.

Antara modul yang akan mereka ikuti sepanjang program latihan itu nanti adalah hard skill / Kemahiran Teknikal bagi kegiatan luar yang berisiko tinggi dan soft skill / Teori bagi kaedah pembelajaran Outward Bound seperti teknik fasilitator, pembentangan, kawalan kumpulan, pengurusan risiko dalam aktiviti luar, keselamatan dan rizab, undang-undang dan etika dalam aktiviti luar.

Gambar ramai jurulatih dan pegawai sebelum berlepas ke Singapura.
Gambar ramai jurulatih dan pegawai sebelum berlepas ke Singapura.

Manakala modul-modul program latihan kemahiran dan kelayakan ini akan disampaikan oleh pakar-pakar dan jurulatih-jurulatih yang diiktiraf oleh badan-badan antarabangsa yang antara lainnya terdiri dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom dan Singapura.

Penghantaran jurulatih-jurulatih ini adalah merupakan salah satu strategi Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Pusat Outward Bound Brunei Darussalam dan Unit Sumber Tenaga Manusia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (HRD, KKBS) ke arah memastikan OBBD sentiasa berada pada tahap yang cemerlang dengan memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian ini dan pihak OBI dari semasa ke semasa disamping untuk meningkatkan profesionalisma dan kemahiran mutu kerja jurulatih OBBD terutama dalam melaksanakan, merangka dan merancang program yang lebih bermutu dan selamat.

Hadir bagi mengucapkan selamat jalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Negara Brunei Darussalam kepada keempat-empat orang jurulatih berkenaan ialah Pemangku Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Awang Haji Rosmadee bin Haji Mohd Daud.

Terdahulu sebelum itu, beliau sempat memberikan kata-kata semangat dan nasihat kepada para jurulatih dengan menekankan penjagaan kesihatan dan disiplin diri sepanjang menjalani program latihan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA