Empat lokasi disediakan

Empat lokasi disediakan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Dis – Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) sedang menyediakan empat lokasi di Gadong, untuk peniaga-peniaga Tamu Kianggeh yang akan dipindahkan, menjelang Mac tahun depan.

Tiga daripada lokasi kekal tersebut ialah di Tingkat Satu Bangunan Pasar Gadong, bagi jualan makanan kering/barangan runcit; kawasan Tamu Gadong (berpayung) bagi jualan makanan dan minuman, kuih-muih dan kraf tangan sebanyak 150 lot; dan bekas bangunan jualan daging dan ayam (bersebelahan bangunan Pasar Gadong), bagi jualan sayur dan buah-buahan.

Manakala itu, satu lagi adalah lokasi sementara di kawasan Tamu Gadong bersebelahan Sungai Menglait bagi peniaga/penjaja setiap Jumaat dan Ahad yang dibenarkan oleh Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan sahaja, yang mana kad nama akan dikeluarkan kepada setiap peniaga/penjaja yang dibenarkan.

Menurut kenyataan Lembaga Bandaran, KHEDN, kerja-kerja untuk membina tapak berjaja di kawasan berkenaan sedang berjalan.

Lembaga Bandaran turut memaklumkan bahawa kawasan lapang bersebelahan Tamu Gadong dekat Sungai Menglait yang sedang dalam pembinaan akan menyediakan 200 petak berjaja yang beratap.

Kerja-kerja pembinaan tapak baru bersebelahan Sungai Menglait, dijangka dapat menampung 200 petak berjaja yang beratap bagi Tamu Jumaat dan Ahad. – Gambar oleh Danial Norjidi
Kerja-kerja pembinaan tapak baru bersebelahan Sungai Menglait, dijangka dapat menampung 200 petak berjaja yang beratap bagi Tamu Jumaat dan Ahad. – Gambar oleh Danial Norjidi

Ia akan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan termasuk kawasan tambahan yang dapat menampung 200 petak berjaja bagi tamu Jumaat dan Ahad, bilik ibadat, tandas awam, kemudahan tempat pembuangan sampah, tempat pemunggahan, notis papan tanda setiap kawasan dan pondok kawalan keselamatan.

Sementara itu, kawasan Tamu Gadong (berpayung) mempunyai sebanyak 180 bangku dengan 18 payung (satu payung bagi enam bangku) yang dilengkapi dengan meter elektrik prabayar dan air bermeter bagi setiap pondok.

Ia juga akan dilengkapi dengan kemudahan pondok masak (sebuah pondok), petak menjual sate (dua pondok) dan tandas awam.

Menurut kenyataan itu lagi, pemindahan operasi berniaga dan berjaja dari Tamu Kianggeh ke Tamu Gadong akan memberikan keselesaan kepada penjaja dan pelanggan dalam suasana yang lebih baik, bersih, teratur, selesa dan selamat, sekali gus menjadi satu tamu yang menawarkan segala keperluan orang ramai dalam satu kawasan.

ARTIKEL YANG SAMA