Empat mangsa bot karam selamat

Empat mangsa bot karam selamat

KOTA KINABALU, 13 Mei (Bernama) – Empat mangsa yang hilang di perairan Pulau Balambangan, Kudat, pada 2 Mei lepas, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini.

Mereka tiba dengan pesawat Bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira pukul 9.15 pagi tadi. Ketibaan kesemua mangsa diiringi Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd Zubil Mat Som dan disambut anggota keluarga dan rakan mereka.

Pasangan suami isteri warga Sepanyol David Hernandez Gasulla dan Martha Miguel; seorang warga China Lam Wai Yin Tommy dan wanita tempatan, Armella Ali Hassan dijumpai selamat kira-kira pukul 8.30 pagi, semalam.

Mereka ditemui berada di sebuah bot milik nelayan Vietnam di perairan Pulau Amboyna Cay berhampiran sempadan Malaysia-Vietnam, kira-kira 240 batu nautika dari perairan Kudat. Keempat-empat mangsa kemudian dibawa ke sebuah hospital swasta di sini menggunakan ambulan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Mohd Zubil berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan secara rasmi pada pukul 4 petang semalam, sejak beroperasi pada 3 Mei lepas.

Pelancong Sepanyol yang hilang, Martha Miguel, melambaikan tangan ketika keluar dari pesawat Maritim jenis Bombardier CL415 sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kelmarin. – Bernama
Pelancong Sepanyol yang hilang, Martha Miguel, melambaikan tangan ketika keluar dari pesawat Maritim jenis Bombardier CL415 sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kelmarin. – Bernama

Katanya APMM telah memindahkan mangsa dari bot nelayan Vietnam itu ke atas kapal KM Bistari pada pukul 6 petang semalam dalam proses pemindahan yang mengambil masa antara 10 dan 15 minit. Beliau berkata kesemua mangsa kemudian dibawa ke Stesen Lima Tentera Laut Diraja Malaysia di Pulau Layang-Layang untuk diberikan rawatan awal, makanan dan rehat.

“Ada antara mereka yang mengalami dehidrasi dan kulit melecur kerana cuaca panas,” katanya sambil menambah semua mangsa berada dalam keadaan stabil.

Menurut Mohd Zubil, pihaknya akan mengambil keterangan semua mangsa untuk membantu siasatan. Mengulas lanjut, Mohd Zubil berkata kesemua mangsa diselamatkan nelayan Vietnam itu di kawasan perairan negara.