Empat maut banjir di utara Filipina

Empat maut banjir di utara Filipina

MANILA, 19 Julai – Empat orang terbunuh dan beribu-ribu orang terpaksa melarikan diri dari kediaman masing-masing ketika banjir menenggelamkan sebahagian besar wilayah utara Filipina, menurut kerajaan hari ini.

Hujan monsun yang lebat melanda sebahagian besar kawasan pertanian selama beberapa hari, yang menyebabkan banjir lalu memutuskan perhubungan jalan raya serta menjurus kira-kira 3,000 orang dipindahkan, kata pegawai-pegawai jabatan pertahanan awam kerajaan.

Sekurang-kurangnya empat orang maut akibat hujan lebat, termasuk anak damit berusia enam bulan yang tertimbus oleh tanah runtuh di wilayah Pangasinan di utara Filipina, kata pegawai-pegawai.

Agensi kebajikan masyarakat dan bantuan menghantar bantuan ke kawasan yang terjejas sementara jabatan kerja raya bersedia membaiki prasarana yang rosak, kata jurucakap Presiden Benigno Aquino, Herminio Coloma.

Walaupun tiada ribut diramalkan melanda, stesen kaji cuaca kerajaan memberi amaran bahawa “hujan monsun yang mungkin mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh akan dialami,” di banyak kawasan di utara Filipina pada hari ini.

Filipina dilanda oleh kira-kira 20 taufan dan ribut setiap tahun, kebanyakannya membabitkan banyak korban jiwa.

Awal bulan ini, Ribut Tropika Linfa menenggelamkan keseluruhan bandar di utara, walaupun tiada sebarang korban jiwa dilaporkan. – AFP