Empat maut, bom meletup semasa latihan di Sulawesi

Empat maut, bom meletup semasa latihan di Sulawesi

JAKARTA, 29 Mac (Bernama) – Empat maut manakala lapan lagi parah dalam kejadian bom meletup ketika pasukan khas polis sedang menjalani latihan pemusnahan bahan letupan di kampus Universitas Halu Oleo (UHO) Kendari, Sulawesi Tenggara hari ini.

Portal-portal berita tempatan memetik Ketua Polis Daerah Sulawesi Tenggara, Agung Sabar Santoso sebagai berkata dalam kejadian kira-kira 4.30 petang waktu tempatan itu, keempat-empat individu berkenaan maut di tempat kejadian.

Mereka ialah seorang anggota polis pasukan khas polis Gegana Brimob (pasukan elit anti terorisme dan bahan letupan) manakala tiga lagi ialah pengawal keselamatan universiti berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati letupan itu disebabkan oleh kesilapan teknikal ketika pasukan Gegana Brimob itu sedang melakukan latihan pratikal mengenai kaedah untuk memusnahkan bom.

“Selain empat yang terkorban, lapan lainnya luka (cedera) dan kejadian berlaku dalam ruangan di gedung Pusat Kegiatan Mahasiswa (PKM) UHO,” katanya.

Kejadian itu dikatakan berlaku ketika anggota Gegana Brimob sedang menunjukkan cara-cara untuk mematikan bom tetapi pemicu dalam bom itu dipercayai telah tersalah pasang yang mengakibatkan bom itu terus meledak.

Mereka yang cedera dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan dan polis masih menjalankan siasatan di tempat kejadian.

ARTIKEL YANG SAMA