Empat maut dalam kemalangan di Kilometer 20 Jalan Lahad Datu-Tawau

Empat maut dalam kemalangan di Kilometer 20 Jalan Lahad Datu-Tawau

LAHAD DATU, 19 Okt – Empat maut termasuk seorang wanita, manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di kilometer 20 Jalan Lahad Datu-Tawau, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hamzah Ahmad berkata mangsa yang maut dalam kemalangan kira-kira pukul 6.30 pagi itu ialah pemandu Proton Iswara, Faizal Amsaini, 43, dan tiga lagi penumpang iaitu Norhashimah Alpinde, 18, Marjuni Ibnu, 66, dan Muntasil Baddi, 30.

Beliau berkata kesemua mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala dua lagi penumpang hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan telah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan.

“Ketika kemalangan itu, kesemua mangsa dalam perjalanan dari Silam menuju ke bandar Lahad Datu. Ketika sampai di lokasi kejadian, pemandu pacuan empat roda yang datang dari arah Lahad Datu ke Tawau telah memotong sebuah lori dan bertembung dengan kereta dinaiki mangsa.

“Berikutan pertembungan itu, kenderaan dinaiki keenam-enam mangsa terbabas dan terbalik ke bahagian kiri jalan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pemandu pacuan empat roda berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan jalan 1987. – Bernama