Empat melecur dalam kebakaran

Empat melecur dalam kebakaran

KOTA KINABALU, 25 Julai – Empat orang melecur dalam kebakaran di Stesen Janakuasa Hidro Pangi, Tenom, kira-kira 173 kilometer dari sini, tengah hari tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan berkata keempat-empat mangsa, masing-masing dua lelaki dan dua wanita telah dihantar ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Kebakaran itu melibatkan bangunan jenis kekal di tingkat bawah dan genset 11kv isolator,” menurut kenyataan itu.

JBPM berkata pihaknya menerima panggilan pada 1.02 tengah hari, sebelum sembilan anggota bersama dua jentera dari balai bomba Tenom dikejarkan ke lokasi kejadian terletak kira-kira sembilan kilometer dari balai bomba berkenaan.

“Anggota bertugas tiba di lokasi 10 minit kemudian dan operasi berjaya dikawal pada 3.05 petang,” kata kenyataan itu. – Bernama