Empat orang terima hidayah

Empat orang terima hidayah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 15 Jun – Bagi mengambil keberkatan di bulan Ramadan yang mulia ini, empat orang berlainan bangsa dan warganegara telah melafazkan dua kalimah syahadah dalam majlis pengislaman yang berlangsung di Dewan Serba Guna Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait, hari ini.

Hadir menyaksikan majlis penuh keberkatan itu selaku tetamu kehormat ialah Ketua Unit Dakwah Daerah Belait, Haji Roslan bin Haji Ratu yang juga telah menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada saudara-saudara baru yang diraikan.

Dengan pengislaman itu, Awang Anthony Dale E Abad, 29, warga Filipina yang masih bujang, kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Awang Muhammad Rayyan Abad bin Abdullah, sementara itu seorang lelaki berbangsa Cina, Chai Juin Yee, 29, juga masih bujang telah memilih nama Islamnya sebagai Awang Muhammad Adam Amsyar bin Abdullah.

Manakala dua yang lainnya, Kalau anak Damong, 35, juga masih bujang kini dikenali sebagai Awang Muhammad Hafiz Ariffin bin Abdullah Damong, dan seorang wanita warga Indonesia, Ambar Trisulawati Robyhan, 38, telah memilih nama Islamnya sebagai Dayang Ariana Batrisya binti Abdullah Yossy Robyhan.

Majlis Pengislaman ke atas empat orang berlainan bangsa dan negara diadakan di Dewan Serba guna Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait.
Majlis Pengislaman ke atas empat orang berlainan bangsa dan negara diadakan di Dewan Serba guna Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait.

Dengan pengislaman empat orang itu telah meningkatkan lagi jumlah saudara baru bagi Daerah Belait, yang setakat ini telah mencatatkan seramai 68 orang sejak Januari hingga Jun tahun ini. Sementara itu pada tahun lepas, Unit Dakwah Daerah Belait telah mencatatkan seramai 96 orang saudara baru bagi daerah ini.

Bagi setiap mualaf yang baru memeluk agama Islam di negara ini, mereka akan dikehendaki untuk mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Pusat Dakwah Islamiah iaitu Kursus Bimbingan Pengenalan Islam selama 10 hari yang diadakan di Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait, kemudian Kursus Skim Bimbingan Asas 14 hari di Pejabat Bahagian Dakwah Belait, manakala Kursus Skim Bimbingan Lanjutan 1 dan 2 akan diadakan di Pusat Dakwah Islamiah, Kampung Pulaie, Bandar Seri Begawan.

ARTIKEL YANG SAMA