Empat pasukan mara separuh akhir

Empat pasukan mara separuh akhir

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Sekolah Rendah (SR) Mabohai, SR Haji Tarif, SR Sungai Kebun dan SR Pusar Ulak merupakan empat pasukan yang berjaya mara ke separuh akhir Kejohanan Bolasepak Sekolah-sekolah Rendah Kawasan Brunei I, Negara Brunei Darussalam 2016.

Keempat-empat pasukan dalam kejohanan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan itu layak meneruskan saingan di peringkat berkenaan selepas menjuarai kumpulan masing-masing, yang mengandungi tiga pasukan di dalamnya.

Perlawanan peringkat kumpulan bagi Kumpulan A dan B telah berlangsung di padang SR Mabohai, manakala bagi Kumpulan C dan D telah diadakan di padang SR Pulaie.

SR Mabohai mengungguli Kumpulan A dengan berpesta 10 gol dalam hanya dua permainan setelah menang 4-0 ke atas SR Raja Isteri Fatimah (RIF) dan kemudiannya membelasah SR Saba Darat dengan jaringan 6-0. SR RIF menang 1-0 ke atas SR Saba Darat untuk menduduki tempat kedua.

SR Haji Tarif pula menjuarai Kumpulan B dengan catatan empat mata menerusi kemenangan 2-1 ke atas SR Dato Ahmad dan seri 1-1 dengan SR Pintu Malim. SR Dato Ahmad di tempat kedua selepas menang 2-1 ke atas SR Pintu Malim.

Awang Haziq (tiga kiri) ketika melakukan rembatan yang berjaya menerjah gawang SR Saba Darat (kuning) untuk catatan hatriknya yang membantu SR Mabohai (putih) menang 6-0.
Awang Haziq (tiga kiri) ketika melakukan rembatan yang berjaya menerjah gawang SR Saba Darat (kuning) untuk catatan hatriknya yang membantu SR Mabohai (putih) menang 6-0.

Kumpulan C menjadi pertarungan sengit antara SR Pengiran Anak Puteri (PAP) Besar dengan SR Sungai Kebun apabila kedua-duanya sama-sama mengumpul empat mata, tiga jaringan dan tiada bolos sehingga memaksa perlawanan ulangan antara keduanya dijalankan. SR Sungai Kebun menang 1-0 untuk memastikan slot ke separuh akhir menjadi miliknya.

Muncul juara Kumpulan D ialah SR Pusar Ulak dengan empat mata, hasil dari kemenangan 2-0 ke atas SR Sungai Siamas dan seri tanpa jaringan dengan SR Dato Jamil. SR Dato Jamil seri 0-0 dengan SR Sungai Siamas untuk mengumpul dua mata bagi menduduki tempat kedua.

Perlawanan separuh akhir dan akhir akan dijalankan esok, Isnin, 14 Mac, dengan separuh akhir pertama akan mempertemukan SR Mabohai dengan SR Haji Tarif dan separuh akhir kedua antara SR Sungai Kebun dengan SR Pusar Ulak.

ARTIKEL YANG SAMA