Empat pasukan teruskan cabaran Piala SC

Empat pasukan teruskan cabaran Piala SC

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 April – Kini hanya tinggal empat pasukan bersaing bagi merebut hadiah eksklusif Piala Standard Chartered (SC Cup) 2016 berupa pakej tiket penerbangan dan perjalanan ke Anfield di Liverpool, United Kingdom.

Empat pasukan yang berjaya melepasi halangan suku akhir di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) petang ini selepas menewaskan lawan masing-masing ialah Brunei Shell Lions, Real Five FC, HMD FT dan Plan C FT.

Dalam suku akhir pertama, Brunei Shell Lions terikat tanpa jaringan dengan FMN FC, tetapi berjaya mara selepas menang 3-2 menerusi sepakan penalti penentuan selepas penjaga golnya berjaya menyelamatkan tendangan ketiga FMN FC.

Aksi kedua suku akhir pula merupakan pertembungan ‘buku dengan ruas’ kerana kedua-dua pasukan, BIBD FT dan Real Five FC turut diwakili beberapa pemain Liga Super Brunei DST 2016 dan Liga Futsal Brunei 2015.

Keputusannya memihak Real Five FC dengan jaringan 1-0, menerusi gol tunggal ketua pasukan futsal kebangsaan Brunei Darussalam, Maiziri bin Maidin pada minit ke-6 perlawanan.

Brunei Shell Lions (jingga) menentang FMN FC (hijau) dalam aksi suku akhir Piala SC.
Brunei Shell Lions (jingga) menentang FMN FC (hijau) dalam aksi suku akhir Piala SC.

HMD FT pula menang 2-1 ke atas TBB FT menerusi gol kemenangan yang disumbat Awangku Md Izzat pada minit terakhir perlawanan iaitu minit ke-20, hanya seminit selepas Qamarussalihin menyamakan kedudukan buat TBB FT. Gol pertama HMD FT hadir pada babak pertama di minit ketujuh menerusi jaringan Mohd Fauzan.

Sementara Plan C FT mendapatkan gol kemenangannya pada minit ke-17 hasil jaringan Md Abdul Khalid yang memberikan Plan C FT kemenangan tipis 1-0 ke atas SCB FT.

SC Cup 2016 akan menutup tirainya pada esok malam, 9 April di tempat yang sama, bermula dengan dua perlawanan separuh akhir dan kemudiannya final yang bakal menjadi kemuncak penentuan siapa layak bergelar juara.

Selain tiket penerbangan, juara dibawa menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dengan Watford di tempat duduk petak eksekutif, Stadium Anfield, ikut serta dalam sesi latihan Akademi Liverpool FC bersama para jurulatih serta bertemu lagenda Liverpool FC semasa sesi kejurulatihan sebelum perlawanan.

ARTIKEL YANG SAMA