Empat pelajar SMALHB wakili Brunei ke perdebatan di Doha

Empat pelajar SMALHB wakili Brunei ke perdebatan di Doha

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 April – Empat orang pelajar Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) telah berlepas ke Doha, Qatar, bagi mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Kejohanan Perdebatan Bahasa Arab Sekolah Antarabangsa ke-3 anjuran Pusat Perdebatan Qatar.

Kejohanan berkenaan akan berlangsung pada 10 hingga 13 April ini, dan penyertaan ini merupakan kali pertama bagi pasukan Negara Brunei Darussalam.

Rombongan SMALHB yang diketuai oleh Pemangku Pengetua Mahad Islam Brunei, Pengiran Haji Asmadi bin Pengiran Haji Aliuddin itu dianggotai oleh Awang Mohd Najihuddin bin Nooralizam, Awang Mohd Amir Mukhlis bin Haji Shamsuddin, Awang Abdul Shafiq bin Roszani dan Awang Abdul Qayyum bin Haji Isa.

Objektif penyertaan dalam kejohanan berkenaan adalah bagi mengukuhkan penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar persekolahan Arab melalui aktiviti kokurikulum, meningkatkan minat pelajar berkomunikasi dalam Bahasa Arab dan sebagai usaha memperkasa penggunaan Bahasa Arab di samping meluaskan peluang perkongsian dan pengembangan ilmu di peringkat antarabangsa.

Menurut Pengiran Haji Asmadi, lebih kurang 50 buah negara mengikuti kejohanan kali ini, yang termasuk dari negara-negara Asia, Eropah, Timur Tengah, dan juga negara-negara Amerika seperti Argentina, Brazil dan lain-lain lagi.

Para pelajar bersama ketua rombongan sebelum berlepas ke Qatar untuk mengikuti kejohanan perdebatan berkenaan.
Para pelajar bersama ketua rombongan sebelum berlepas ke Qatar untuk mengikuti kejohanan perdebatan berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa isu yang akan didebatkan nanti adalah lebih kepada yang berkaitan dengan politik, ekonomi, perniagaan, dan sosial, namun mereka tidak akan menyentuh mengenai agama.

“Agama itu satu perkara yang tidak dapat didebatkan. Ditakuti akan ada taksub. Ini lebih kepada sifat mulia iaitu sesuatu yang disuruh oleh semua agama sama ada agama Islam ataupun bukan Islam. Yang penting isu-isu berkenaan tidak menimbulkan atau mencetuskan suasana yang tidak bagus.

“Apa yang diharapkan, paling penting ialah untuk mendapat pengalaman, cara, strategi dan sebagainya. Seboleh-bolehnya pasukan dapat memperolehi ilmu sebanyak mungkin, mudah-mudahan penuntut-penuntut yang mengikuti pertandingan tersebut akan dapat membawa balik dapatan yang mereka peroleh dari negara luar, khususnya dari negara Qatar,” katanya lagi.

Salah seorang pelajar, Awang Mohd Najihuddin ketika ditemu bual Media Permata menjelaskan bahawa tugas mereka selain untuk berdebat, juga untuk memerhati bagaimana untuk berdebat.

“Selain itu juga, kami juga akan menghadiri beberapa program bagi meningkatkan lagi kemahiran kami dalam Bahasa Arab.”

Beliau juga berharap, secara tidak langsung mereka akan dapat bertukar-tukar budaya sesama para peserta lain dari pelbagai negara, sekali gus dapat memperkenalkan mengenai Brunei dan budaya Brunei di sana nanti.

ARTIKEL YANG SAMA