Empat perlawanan Piala Remaja NFABD bermula

Empat perlawanan Piala Remaja NFABD bermula

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt – Piala Remaja Elit NFABD 2016 bermula hari ini dengan empat perlawanan yang menyaksikan Tabuan ‘B’ menang 3-0 ke atas Kilanas FC Junior, FERDA FC mengalahkan PLBMB 3-1, Projek Ikan Pusu (PIP) menang percuma 3-0 ke atas BESA FC dan Tabuan 03 seri 2-2 dengan MSN United.

Di Padang NFABD House, Tabuan ‘B‘ menjaringkan dua gol lewat pada separuh masa pertama sebelum menambah satu lagi jaringan di penghujung babak kedua untuk membawa pulang tiga mata penuh.

Dalam perlawanan yang dikuasai Kilanas FC Junior pada awalnya itu hanya menyaksikan Tabuan ‘B’ berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-27 hasil jaringan Mohd Ishra Aqimin bin Jabidi dari jarak dekat tatkala penjaga gol lawan sudah pun rebah dalam cubaan memintas hantaran silang Tabuan ‘B’ dari sebelah kirinya.

Ketika perlawanan diteruskan dari tengah padang, Tabuan ‘B’ memberikan tekanan kepada pemain Kilanas FC Junior sehingga berjaya merampas bola dan terus melakukan serangan balas pantas yang menghasilkan gol dari tandukan Imam Mahdi bin Suhaimi melepasi jangkauan penjaga gol lawan yang meluru keluar dari kawasannya. Jaringan pada minit terakhir babak pertama itu memberi pukulan hebat kepada Kilanas FC Junior kerana menyebabkannya ketinggalan 0-2 padahal sebelum itu ia kelihatan lebih layak menerajui perlawanan dengan serangan bertali arus ke kubu Tabuan ‘B’.

Kilanas FC cuba bangkit pada babak kedua namun penyudah yang tumpul menggagalkan segala usaha mereka sehinggalah Tabuan ‘B’ pula yang berhasil menambah gol pada minit ke-56 menerusi jaringan Mohd Ady Aiman bin Haji Noorajrin iaitu tatkala perlawanan hanya berbaki empat minit.

Mohd Ishra Aqimin (putih) ketika menjaringkan gol pertama dalam kemenangan 3-0 Tabuan ‘B’ ke atas Kilanas FC Junior.
Mohd Ishra Aqimin (putih) ketika menjaringkan gol pertama dalam kemenangan 3-0 Tabuan ‘B’ ke atas Kilanas FC Junior.

Sementara di Padang B, Kompleks Sukan Menglait, pasukan dari Temburong, PLBMB FT pulang tangan kosong apabila tewas 1-3 kepada PERDA FC akibat dua jaringan sendiri pemainnya pada babak kedua.

Mohd Afif Ashraf bin Japerin menjaringkan gol pertama PERDA FC pada minit ke-8 namun Irwandi Inggul menyamakan kedudukan lima minit kemudian. Babak kedua menyaksikan pemain PLBMB terjaring ke gawang sendiri masing-masing pada minit ke-37 dan ke-53.

Empat gol dijaringkan di antara Tabuan 03 dengan MSN United di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dari catatan seri 2-2.

MSN United FC mendahului 1-0 seawal minit ke-3 dijaringkan oleh Mohd Nurkhairunnas Syahmie bin Haji Mohd Nazriee tetapi Tabuan 03 berjaya menjadikan kedudukan seimbang pada 1-1 hasil jaringan Mohd Nur Isaq bin Roslan pada minit ke-14.

MSN United FC kembali mendahului tiga minit berselang dengan jaringan 2-1 apabila rembatan Malindo menerjah jaring, namun tujuh minit berselang kedudukan kembali seimbang, kali ini 2-2 menerusi jaringan Mohd Hakeme Yazid bin Said untuk Tabuan 03.

Sejumlah 16 buah pasukan terdiri daripada 10 buah pasukan Liga Remaja Bawah 16 Tahun NFABD 2016 dan enam pasukan bukan liga menyertai kejohanan yang bermula dari 7 Oktober hingga 11 November 2016 itu.

ARTIKEL YANG SAMA