Empat sekeluarga dirompak

Empat sekeluarga dirompak

KUCHING, 28 Jan – Empat sekeluarga berdepan detik cemas apabila diikat perompak yang memecah masuk rumah mereka di Kampung Semerah Padi, Jalan Samariang di sini, awal pagi ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Ernest John berkata perompak dipercayai terdiri tiga lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan melarikan lima unit telefon bimbit dianggarkan bernilai RM5,000, wang tunai RM1,500 dan satu beg mengandungi resit dan wang tunai RM67.

Polis menerima laporan mengenai kejadian rompakan itu daripada mangsa pada jam 3:30 pagi tadi dan sedang giat memburu suspek, katanya di sini hari ini.

Katanya pengadu dalam laporan itu menyatakan dirinya serta isteri dan dua anaknya telah diikat oleh perompak terbabit dengan menggunakan wayar kabel, wayar pengecas telefon, kain batik dan wayar seterika.

“Perompak terbabit dikatakan meluru masuk ke dalam bilik mangsa dengan memegang pisau, pemutar skru, sebatang kayu dan parang.

“Seorang daripada mereka terus mengacu pisau ke arah isteri pengadu dan menarik gelang emas dan rantai sebelum mereka diikat menggunakan wayar kabel, wayar pengecas telefon, kain batik dan wayar seterika,” katanya. – Bernama